Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan Malaysia yang berlangsung di Seri Perdana, Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perpaduan akan menggerakkan seluruh jentera kempen semua parti komponen bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN)  Mahkota.

Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, jentera Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akan bekerjasama sepanjang kempen PRN Mahkota yang akan bermula pada 14 September.

Katanya, Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan Malaysia yang berlangsung di Seri Perdana, Putrajaya malam tadi melantik Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai Pengarah Pilihan Raya.

Manakala Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan yang juga Ahli Parlimen Sri Gading sebagai Penyelaras Jentera Pakatan Harapan.

“(Mesyuarat) Menyokong penuh calon Barisan Nasional di PRK DUN Mahkota, mewakili Kerajaan Perpaduan Malaysia yang bakal dinamakan oleh kepimpinan tertinggi Barisan Nasional dalam masa terdekat.

“Seluruh jentera parti-parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan Malaysia terutamanya Barisan Nasional dan Pakatan Harapan akan digerakkan sepenuhnya bagi memenangi hati dan sokongan pengundi di DUN Mahkota dari kalangan pelbagai kaum dan agama,” katanya dalam kenyataan.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, meninggal dunia pada 2 Ogos lalu.

Seramai 66,318 pemilih terdiri daripada 61,397 pengundi biasa; 4,410 anggota tentera dan pasangan, 401 anggota polis serta 10 orang pengundi tidak hadir (PTH) luar negara akan melaksanakan tanggungjawab pada 14 September.

Sementara itu mesyuarat tersebut yang dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut menzahirkan kesyukuran dan mengucapkan tahniah kepada BN kerana memenangi PRK DUN Nenggiri dengan majoriti besar.

Mesyuarat itu turut memandang serius isu-isu mengenai 3R dan menegaskan akan menumpahkan taat setia serta terus mempertahankan kedaulatan dan kedudukan Raja-Raja Melayu sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.-MalaysiaGazette