PUTRAJAYA – Kerajaan nafi masuk campur dalam kes hasutan yang sedang dihadapi Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Jurucakap kerajaan merangkap Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pihak berkuasa mengambil tindakan susulan laporan yang dibuat wakil Istana Pahang sendiri.
Kata Fahmi, perkara yang sama berlaku dalam kes hasutan membabitkan Menteri Besar Kedah, Datuk Muhammad Sanusi Md Nor yang mana laporan polis dibuat pihak Istana Selangor.
“Kerajaan memang tidak terlibat sama sekali, (memang) ada dakwaan dan tohmahan (mengatakan kerajaan terlibat) seperti itu.
“(Namun) laporan asal tentang kes ini adalah datangnya dari Istana Pahang. Sama seperti kes MB Kedah.
“Kedua-dua kes ini melibatkan isu 3R (kaum, agama, raja) dan laporan polis dibuat oleh wakil istana serta tiada kaitan dengan kerajaan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Dalam pada Fahmi juga mendedahkan setakat ini, kerajaan belum membuat keputusan untuk melakukan sebarang pindaan melibatkan Akta Hasutan yang mendapat kritikan pelbagai pihak.
Untuk rekod, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri telah dihadapkan ke Mahkamah Gua Musang, Kelantan semalam sebelum didakwa mengikut Akta Hasutan di Mahkamah Gua Musang hari ini, susulan ceramahnya berkait 3R dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, baru-baru ini.
Pertuduhan itu mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 504 Kanun Keseksaan. -MalaysiaGazette