SHAH ALAM – Seorang lelaki warga Myanmar mengaku tidak bersalah di mahkamah sesyen di sini, hari ini atas tuduhan memberi suapan RM5,650 kepada pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 sebagai upah melepaskan kemasukan sembilan orang warga negara itu ke Malaysia.
Tertuduh, Pho Cho dituduh melakukan jenayah tersebut pada 31 Oktober 2023 pada 3.55 petang, di Medan Selera Indah Puteri, Kg. Baru Lanjut, Sepang.
Lelaki berusia 37 tahun itu didakwa melakukan kesalahan di bawah seksyen 16(b)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] yang bolen dihukum di bawah seksyen 24(1) Akta yang sama.
Jika disabitkan kesalahan, tertuduh yang telah tinggal di Malaysia selama 18 tahun itu boleh dipenjara tidak lebih dua puluh tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan.
Hakim, Datuk Anita Harun kemudian menetapkan jumlah jaminan sebanyak RM70,000.
Pho turut diperintah menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah sehingga kes selesai dan melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat sekali setiap bulan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Ahmad Khairuddin memohon mahkamah tidak menetapkan jaminan kepada tertuduh memandangkan pertuduhan kes itu melibatkan siasatan sebuah sindiket.
Namun, peguam bela, Ungku ikram Athari memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan ditetapkan namun dengan jumlah yang munasabah kerana tertuduh kini tidak mempunyai pekerjaan.
Sementara itu, tarikh pengurusan dan sebutan kes ditetapkan pada 30 September 2023. – MalaysiaGazette