Mayat bayi tertanam di bawah simen di ruang parkir sebuah rumah di Taman Sri Rokam, Ipoh, Perak.

IPOH – Polis sedang mengesan seorang wanita warga Indonesia yang dipercayai dapat membantu siasatan kes penemuan mayat bayi tertanam di bawah simen di ruang parkir sebuah rumah di Taman Sri Rokam, di sini, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki yang merupakan bakal penyewa rumah tersebut pada jam 12.15 tengah hari.

Menurutnya, ketika kejadian, pengadu berusia 37 tahun yang juga bekerja sebagai pengubah suai rumah sedang mengorek tanah untuk menyimen semula lantai di tempat letak kereta.

Katanya, pengadu terbabit menemui cebisan kain sarung serta menarik kain tersebut dan mayat terjumpa mayat bayi di sebalik kain itu.

“Hasil siasatan mendapati, sebelum ini rumah tersebut disewa oleh seorang wanita Indonesia dan dia telah melarikan diri kira-kira sebulan lalu.

“Menerusi keterangan daripada pemilik rumah, dia telah menyewakan rumah tersebut kepada wanita terbabit dengan kadar bayaran sewa RM400 sebulan.

“Pemilik rumah terbabit yang tinggal selang sebuah rumah dari rumah sewanya melihat wanita itu mengandung dan akan pergi mengutip sewa setiap bulan kerana dia membayar secara tunai,“ katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, berdasarkan keterangan pakar patologi, mayat bayi tersebut adalah perempuan dan tiada kecederaan ditemukan.

“Mayat bayi yang dijumpai di bawah simen pekarangan rumah itu dipercayai berusia tujuh bulan ketika keluar daripada kandungan.

“Susulan penemuan itu, mayat bayi terbabit dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat pada jam 9 pagi esok (Khamis),“ jelasnya.

Katanya, kes setakat ini kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran. – MG Perak