KUALA LUMPUR – Pertubuhan bukan kerajaan, AICT Global komited meneruskan misi bantuan kemanusiaan khususnya di Palestin yang ketika ini berdepan konflik kemanusiaan akibat peperangan yang berterusan.
Pengarah antarabangsa dan juga pempengaruh media sosial, Naemah Rafiqul bersama rakan aktivis, Lila Ruzaini yang juga duta AICT sentiasa turun ke padang untuk pastikan bantuan sampai khususnya agihan makanan yang telah berjaya memberikan manfaat kepada lebih 2,500 penduduk setiap hari yang serba memerlukan.
Antara bantuan disalur termasuklah makanan harian diagih kepada penduduk dan disediakan secara gotong royong bersama mangsa peperangan.
“Selain delegasi AICT Global, misi kami sejak permulaan perang ini turut disertai oleh Pengarah Antarabangsa AICT Global, Naemah Rafiqul Islam dibantu penduduk setempat bagi melancarkan lagi misi agihan bantuan makanan kepada warga terjejas.
“Selain makanan, peralatan kesihatan dan pembersihan, AICT Global turut memberi bantuan pendidikan kepada anak-anak kecil di Kem Pelarian Khan Younis dengan cara mendirikan khemah sementara sebagai satu inisiatif membantu taraf pendidikan mereka.
“Walau berdepan pelbagai risiko keselamatan, kerenah birokrasi di kawasan bergolak, kami (AICT Global) tetap fokus dan komited membantu seramai mungkin para penduduk yang rata-ratanya terkesan akibat daripada peperangan yang tercetus,” katanya dalam kenyataan.
Selain misi bantuan kemanusiaan di Gaza, AICT Global turut menggerakkan bantuan kemanusiaan di Dhaka, Bangladesh yang ketika ini berdepan bencana banjir.
Menurut Lila Ruzaini, kerja-kerja kemanusiaan yang dilaksanakan oleh AICT Global tetap diteruskan sehingga keadaan kembali damai dan keperluan mangsa telah pulih seperti sedia kala.
“Kami di AICT Global amat mengalukan-alukan pihak korporat mahupun individu yang berminat untuk menyokong dan bekerjasama bagi menjayakan misi bantuan kemanusiaan ini secara berterusan sebagai menunjukkan solidariti terhadap rakyat di Palestin yang tertindas akibat kekejaman Israel,” katanya.
Menurut Lila Ruzaini, pihaknya berterima kasih atas sokongan yang diberikan oleh rakyat Malaysia.
“Sokongan mereka yang menyuntik semangat kami meneruskan misi bantuan dan khidmat kami kepada rakyat di Gaza.
“Jadi kami sangat berterima kasih kepada rakyat Malaysia sebab sentiasa menyokong kerja murni AICT,” ujarnya. – MalaysiaGazette