Narashinmasegaran

PETALING JAYA – Polis meminta orang ramai untuk berkongsi maklumat bagi menjejaki seorang lelaki remaja yang dilaporkan hilang sejak Rabu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, remaja berusia 17 tahun itu dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Lindungan di sini sekitar jam 11.30 pagi semalam.

Katanya, polis menerima laporan berkaitan kehilangan remaja bernama Narashinmasegaran Gunasegaran jam lebih kurang 2 petang semalam daripada ahli keluarganya.

“Mangsa yang hilang berketinggian 160 sentimeter dan berat badan 65 kilogram dan berbadan urus, mata bulat beserta rambut berwarna hitam pendek.

“Kali terakhir mangsa dilihat memakai baju berwarna putih dan terdapat corak belang-belang di bahagian hadapan, berseluar jeans berwarna biru dan berkemungkinan membawa beg galas berwarna merah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah beliau, mangsa turut memakai jam tangan berwarna merah semasa meninggalkan rumahnya.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau melihat remaja hilang itu dimohon tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi bilik gerakan IPD Petaling Jaya 03-7966 2222,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette