Peserta kontinjen berarak pada Sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Dataran Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 31 OGOS 2023.

MERDEKA…MERDEKA…MERDEKA
Laungan keramat tanggal 31 Ogos 1957 ini tidak akan hilang daripada ruang hati dan sanubari kita semua. Saban tahun laungan tersebut akan terus dilaungkan dengan penuh semangat. Semangat kemerdekaan bukan sahaja dihayati di bibir kita namun mesti dihayati daripada dasar maksud kemerdekaan itu sendiri.

Generasi masa kini majoriti berpendapat kemerdekaan adalah bermaksud negara yang merdeka, bebas daripada penjajah. Namun, adakah kita semua faham apa erti kemerdekaan yang sebenar? Kemerdekaan yang dibawa sejak zaman nenek moyang kita. Nenek moyang kita merupakan golongan yang lebih faham erti kemerdekaan sebenar kerana mereka pejuang yang telah mengharungi jerih perih kehidupan menentang penjajah demi sebuah kemerdekaan.

Golongan muda perlu lebih menghayati dan menyayangi kedaulatan negara yang merdeka. Pandang sahaja negara luar yang sedang bergolak mencari cahaya kemerdekaan dan kebebasan daripada peperangan serta penderitaan taklukan penjajah, kita yang sudah biasa hidup aman damai ini belum tentu kuat untuk berada dalam kasut mereka. Generasi masa kini meluangkan masa lebih bersama gajet dan media sosial. Ia merupakan kemajuan teknologi yang perlu diterima dan dimanfaatkan. Jika dahulu untuk mendapatkan sesuatu berita atau informasi menggunakan medium seperti daun lontar, mel, surat khabar dan lain-lain. Kini, kemajuan teknologi sangat pantas hanya di hujung jari sudah mampu mendapatkan berita dan informasi.

Secara tidak sedar juga sebenarnya generasi masa kini terdedah dengan pengaruh sama ada positif atau negatif melalui media sosial contohnya. Jika bijak menggunakan kemajuan-kemajuan yang dibawa, banyak yang dapat dimanfaatkan daripada saluran-saluran media sosial tersebut. Namun jika lalai, minda generasi muda kita lebih mudah dijajah oleh pengaruh negatif.

Pengaruh negatif ini jauh lebih berbahaya berbanding pengaruh luar yang nampak dan nyata di mata kasar kita. Ini kerana, individu tersebut sendiri perlu peka dengan minda dan diri yang telah dijajah secara senyap tanpa sedar. Amat bahaya jika anak muda mudah terikut-ikut budaya negatif yang dilihat melalui media sosial seperti contoh mengambil jalan pintas dan kurang bijak dengan keluar dari rumah ketika menghadapi sesuatu masalah ataupun melakukan perkara-perkara yang tidak bermoral.

Semangat patriotik juga kian dilihat semakin sepi, tidak meriah seperti suatu masa dahulu. Jika dahulu, kita dapat melihat terlalu banyak jalur-jalur gemilang dipasang dan dikibar sejak awal
bulan Ogos lagi. Mata yang memandang kibaran bendera-bendera tersebut membawa kepada perasaan terharu, bangga dan hormat terhadapnya. Kita juga sering beranggapan bahawa dengan mengibarkan jalur gemilang, sudah cukup untuk meraikan dan menyemarakkan hari kebangsaan.

Namun sebenarnya, menyambut kemerdekaan bukan sekadar dengan mengibarkan bendera. Kibaran jalur gemilang tersebut mestilah disertai dengan semangat dan usaha menjaga serta memelihara kemakmuran negara tercinta. Jalur gemilang yang dikibar bukan sebagai melepaskan syarat untuk menyambut kemerdekaan.

Acap kali kita melihat jalur gemilang yang lusuh, kotor tidak kurang sudah koyak rabak masih digantung dan dibiar berkibar baik di premis-premis perniagaan juga di bangunan-bangunan. Bendera perlu dipasang dengan sempurna kerana ia merupakan simbol penghormatan negara. Kita juga perlu menghayati serta menghormati maksud di sebalik jalur gemilang yang dikibarkan, meletakkan ia di tempat yang baik bukan dibiarkan jatuh di tanah, dalam lopak air mahu pun longkang.

Hormati ia umpama menjaga kedaulatan negara kita. Melalui semangat patriotik yang ada dalam diri kita, ia sebenarnya membantu menzahirkan lagi rasa cinta, sayang dan semangat nasionalisme terhadap tanah air kita. Seterusnya, sikap mempertahankan tanah air daripada dijajah anasir negatif akan terus utuh. Banyak cara dan langkah yang boleh diambil untuk menyemarakkan lagi semangat patriotisme.

Generasi muda masa kini perlu merebut peluang menyertai semua aktiviti pada bulan kebangsaan seperti perbarisan dan aktiviti-aktiviti yang mendorong kepada sifat kebersamaan dan perpaduan negara. Antara usaha lain, generasi muda masa kini juga boleh membantu dan mengambil peluang menyemarakkan semangat patriotik dalam media sosial.

Bukan sahaja ia memperkenalkan negara dalam kalangan warganegara malah ia turut membantu memperkenalkan negara ke seluruh dunia. Bersesuaian dengan tema hari kebangsaan pada tahun ini Malaysia Madani: Jiwa Merdeka, kita seharusnya mencorakkan jiwa kita supaya ia benar-benar merdeka. Usah kita membiarkan diri dijajah dengan sifat kolot jiwa dan pemikiran. Perbuatan dan pemikiran kita terhadap sesuatu tindakan merupakan bayang diri kita yang sebenar. Setiap apa yang kita muat naik, komen-komen di media sosial yang ditaip juga mencerminkan jiwa sama ada bersifat matang atau pun sebaliknya.

Budaya ‘menyerang’ di media sosial berkenaan sesuatu isu yang tular hanya untuk memuaskan hati sendiri amat tidak wajar kita jadikan sebagai budaya kerana ia merupakan tindakan yang negatif. Tindakan tersebut sudah pasti memberi pandangan yang tidak baik di mata semua pihak lebih-lebih lagi jika ia melibatkan orang luar. Kita dilihat bertindak seperti kebudak-budakkan dan tidak maju ke hadapan. Adakah dengan tindakan tersebut kita pasti jiwa kita sudah betul merdeka? Tepuk dada tanyalah minda. Seharusnya setiap tindakan perlu seiring dengan pemikiran kita yang telah lama merdeka dan maju.

Ayuh semua rakyat Malaysia yang berjiwa merdeka, kita terus menjaga semangat muhibah sesama kaum demi kemakmuran negara tercinta. Semangat muhibah ini penting dalam menjaga kemakmuran negara kerana ia memupuk dan menjaga perpaduan serta keharmonian antara rakyat berbilang kaum. Toleransi, saling menghormati dan memahami budaya serta kepercayaan antara satu sama lain dapat mengelakkan konflik dan ketegangan yang boleh menggugat keharmonian negara.

Semangat muhibah yang dipelihara tanpa mengira latar belakang dan kepercayaan juga mencipta kerjasama membawa kepada kemakmuran negara seterusnya menyumbang kepada kemajuan sektor ekonomi, sosial dan politik. Hanya dengan perpaduan muhibah masyarakat berbilang bangsa kita dapat mencapai kemakmuran negara.

Salam merdeka negaraku Malaysia. Malaysia Madani: Jiwa Merdeka!

 

Nurulisyazila Othaman
Guru Bahasa
Pusat Pengajian Bahasa
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast