Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berucap ketika hadir ke Malam Gala sempena sambutan 25 tahun UiTM di Dewan Agung Tunku Canselor (DATC), UITM Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 28 OGOS 2024.

SHAH ALAM – Orang Melayu tidak boleh sentiasa disuap dengan kesenangan sehingga  terlalu bergantung harap kepada orang lain.

Sehubungan itu menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Universiti Teknologi MARA (UiTM) memainkan peranan penting untuk membawa kemajuan pendidikan kepada orang Melayu dan Bumiputera sehingga boleh berdikari dan mencipta nilai dalam ekonomi masyarakat.

“Atas peranan besar UiTM ini, terlahirlah suatu arus pendidikan yang begitu unik sekali.

“Dalam keghairahan arus pendidikan dunia mengejar kemajuan dan kemodenan, UiTM berjaya untuk mengekalkan malah memartabatkan citra bumiputera, dan pemikiran yang lebih mengakar kepada konteks tempatan dan tidak semena-mena menjadi pengagum aliran pendidikan barat semata-mata,” katanya sempena Malam Gala UiTM  bagi meraikan Sambutan Jubli Perak: 25 Tahun UiTM Sebagai Sebuah Universiti, malam ini.

Ucapan Anwar dibacakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin turut berkenan berangkat mencemar duli ke majlis gilang gemilang yang juga dihadiri para alumni.

Menurut Anwar, UiTM masih kekal relevan sehingga hari ini atas faktor kemunduran dan kemiskinan orang Melayu.

Menyingkap sejarah penubuhan universiti itu sehingga kini, beliau berkata  kemiskinan orang Melayu bukan diukur dari segi harta dan wang ringgit semata-mata malah dari aspek pendidikan, hemat dan cita-cita orang kaum itu sendiri.

“Atas sebab kemunduran dan kemiskinan inilah mengapa UiTM itu masih kekal relevan sehingga ke hari ini.

“Kita tidak boleh lari daripada realiti bahawa orang Melayu dan Bumiputera perlu dibantu dengan pendidikannya yang lebih terkedepan kerana kebanyakan orang Melayu dan Bumiputera itu datang daripada golongan masyarakat yang paling susah,” katanya lagi.

Sehubungan itu katanya, sejarah penubuhan UiTM perlu dihayati dengan fahaman mengenai cabaran dan permasalahan yang dihadapi dalam mendepani pendidikan orang Melayu itu sendiri.

Sementara itu, Anwar menyifatkan Usaha UiTM untuk Memasyarakatkan Kecerdasan Buatan (AI) sebagai usaha dan inovatif yang baik.

Dengan usaha itu beliau yakin, universiti tersebut akan terus menempa nama di persada dunia dengan pelbagai kejayaan, inisiatif.-MalaysiaGazette