GEORGE TOWN – Gangguan anjing liar, masalah sampah lambat dipungut serta lembu dibiarkan tanpa pengawasan pemilik antara masalah yang tidak berkesudahan membelenggu penduduk di Taman Hong Seng di sini.
Rata-rata penduduk meluahkan rasa kecewa apabila masalah yang diajukan kepada pihak berkaitan termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kebun Bunga, Lee Boon Heng sejak dua tahun tidak dipedulikan atas alasan tanah kediaman mereka milik orang persendirian.
Wakil penduduk, Tang Tat Onn, 57, berkata, dakwaan tanah milik persendirian tidak boleh dicampur tangan itu tidak masuk akal kerana penduduk berdepan kesukaran dalam menerusi kehidupan harian.
Jelasnya, ia susulan lambakan anjing liar mengancam keselamatan penduduk khususnya kanak-kanak serta orang awam yang memasuki kawasan perumahan.
“Bayangkan pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) penghantar barang dan makanan sering dikejar anjing tidak bertuan sehingga ada kejadian mereka jatuh dari motosikal serta mengalami kecederaan.
“Takkan isu ini pun kami tak boleh minta pihak berkaitan datang bantu selesaikan? Alasan mereka tanah persendirian tapi anjing itu bukan milik penduduk sini.
“Jadi kita tak faham kenapa kami dilayan ibarat anak tiri ketika meminta pihak PBT menangani isu berbangkit. Dulu isu sebegini tidak timbul, PBT datang bersihkan sampah, longkang rumput kenapa sekarang baru nak cakap ini tanah persendirian mereka tak boleh buat?,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
MalaysiaGazette difahamkan, terdapat 450 kediaman di taman tersebut.
Sementara itu, S.Saravanan Kumar,54, berkata, kawasan perumahan itu terbahagi kepada tanah persendirian dan milikan kerajaan dan sampah selalunya dikumpulkan di hadapan jalan bagi membolehkan pungutan dibuat oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang.
Bagaimanapun, jelasnya, adakalanya sampah itu telah berbau serta melimpah dari tong yang disediakan susulan tiada pungutan dibuat.
“Keadaan itu mengundang ancaman masalah kesihatan kepada penduduk kerana apabila kita mengadu ada saja alasan daripada pihak bertanggungjawab.
“Kami bayar cukai pintu takkan cari kami bila masa pilihanraya saja? Lepas itu tak peduli sebab kami tinggal di tanah persendirian dan apa saja masalah perlu diselesaikan sendiri,” katanya dengan nada kecewa sambil menambah sudah 50 tahun menetap di taman tersebut.