KLUANG – Penemuan bom lama di Taman Sri Lambak di sini semalam adalah yang pertama kali sejak perumahahan tersebut dibangunkan 30 tahun lalu.
Menurut penduduk, mereka langsung tidak mengetahui kawasan itu tertanam bom lama sehingga insiden dua anggota polis cedera semasa mahu memusnahkan bom yang ditemui semalam.
Hassan Paniti, 54, berkata, penduduk sekitar terkejut dengan penemuan itu dan insiden tersebut.
“Saya tidak mengetahui berita penemuan bom itu sehingga kenderaan pasukan penyelamat masuk ke kawasan taman perumahan ini pada sebelah petang.
“Sekitar pukul 3 petang, saya lihat kenderaan polis dan ambulans yang masuk ke laluan belakang taman perumahan di sini.
“Ia menimbulkan tanda tanya. Namun sangkaan ketika itu berlaku kemalangan di kawasan pembinaan. Rupanya sebutir bom lama ditemui di tapak pembinaan,” katanya ketika ditemui.
Kejadian pada pukul 2.20 petang semalam menyebabkan Koperal Abdul Halim Zainal, 39, patah tulang pinggul dan tiga tulang rusuk sebelah kiri.
Koperal Muhammad Faruuqi Shamsary, 34, pula patah tulang peha dan tulang rusuk sebelah kiri.
Kejadian itu berlaku ketika kedua-dua anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dalam penugasan memusnah bom lama jenis Aerial 500 Lbs 1952 yang ditemui orang awam.
Namun, ketika kerja-kerja memusnah bom dijalankan, berlaku runtuhan tanah pada dinding lubang di lokasi sehingga menyebabkan kedua-dua mereka tertimbus dan cedera.
Sementara itu, seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Mahat berkata, penduduk tidak mendengar sebarang bunyi letupan dari kawasan tapak pembinaan tersebut.
“Kami tidak bunyi letupan kerana bom berkenaan difahamkan belum lagi dimusnahkan susulan tragedi runtuhan tanah sehingga mencederaka dua anggota Unit Pemusnah Bom (UPB).
“Penduduk bimbang bom lama masih belum dimusnahkan. Kami harap ia segera dimusnahkan dan kawasan berkenaan diperiksa bagi memastikan tiada lagi bom lama di situ,” katanya.- MalaysiaGazette