Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan UMNO Datuk Seri Azalina Othmah Said diminta mengambil tindakan untuk mendapatkan pengampunan penuh terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Bekas Perdana Menteri yang juga bekas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang) boleh berbuat sesuatu bagi membebaskan Najib daripada penjara.

“Saya harap adalah kalangan daripada kita (UMNO) menghadap Yang di-Pertuan Agong minta supaya adendum itu dibawa semula ke dalam mesyuarat (Lembaga Pengampunan) agar Najib boleh menjalani tahanan di rumah.

“Ataupun Lembaga Pengampunan diminta supaya Najib dapat pengampunan penuh daripada Agong. Kalau (kes masih) di mahkamah dari Mahkamah Tinggi hingga peringkat seterusnya ada sembilan hakim. Tak mudah.

“Saya harap boleh buat sesuatu, saya juga harap kepimpinan terutama Datuk Seri Azalina yang satu ketika dahulu begitu garang, menghadap merayu kepada Agong,” kata Ismail Sabri.

Ismail Sabri merupakan pemimpin pertama daripada UMNO mempersoalkan sama ada wujud titah tambahan terhadap pengampunan Najib pada sesi Dewan Rakyat Mac lalu.

Beliau berkata, soalan mengenai adendum itu bagaimanapun tidak dijawab termasuk oleh Azalina.

“Saya dengar adendum itu ada cuma tak dibincang sewaktu Lembaga Pengampunan. Sebab itu saya tanya.

“Tapi kalau diikutkan lebih mudah buat kerja (bebaskan Najib) selepas mahkamah buat keputusan berbanding sebelum kes itu dibawa mahkamah. Kerana Mahkamah Tinggi ada seorang hakim, Mahkamah Rayuan ada tiga, Mahkamah Persekutuan ada tiga. Lebih susah.

“Tapi kalau sekarang, kalaulah ada adendum untuk hukuman di rumah, kita hanya ada satu sahaja iaitu Yang di-Pertuan Agong. Jadi lebih mudah untuk mereka buat kerja sekarang. Tak libatkan perundangan, hanya belas kasihan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program podcast yang dihoskan bersama dua pemimpin UMNO yang dipecat dan digantung iaitu Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Shahril Sufian Hamdan.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, Najib tidak pernah berjumpa dengannya untuk meminta dibebaskan.

Sebaliknya bekas Ahli Parlimen Pekan itu mahu supaya beliau diberikan perbicaraan yang adil.

Selain itu, Ismail Sabri menegaskan tidak pernah mencampuri kes Najib kerana sebagai perdana menteri beliau menghormati prinsip pemisahan kuasa.-MalaysiaGazette