Pihak berkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur(DBKL) menutup laluan di kawasan lubang mendapan baru yang telah dikesan awal pagi tadi ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 28 OGOS 2024

KUALA LUMPUR – Kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India hingga menyebabkan seorang wanita warga India terjatuh mendatangkan trauma dalam kalangan peniaga di kawasan ini.

Rata-rata orang ramai yang ditemui di sini mengakui insiden yang menimpa mangsa berkenaan menimbulkan rasa takut kepada mereka, memandangkan kejadian yang berlaku itu terjadi secara tiba-tiba.

Siti Aisha Dela Cruz Salvador

Peniaga kedai stokin, Siti Aishah Dela Cruz Salvador, 44, berkata, dia mula berasa takut setiap kali untuk datang berniaga ke sini ditambah dengan insiden tanah mendap yang berlaku berhampiran kedainya awal pagi tadi.

“Kami pindah sini sejak 2019, sebelum ini tiada apa-apa yang berlaku. Ikutkan saya berdiri sekarang ini pun rasa lutut saya berketar tapi nak buat macam mana..

“Ini tempat saya mencari rezeki, jadi terpaksa beranikan diri juga untuk datang demi mencari sesuap nasi. Apa pun kita cuma harapkan pada Allah sahaja semoga dilindungi,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Menurutnya, sejak insiden itu, jualan kedainya terjejas kerana kedatangan pengunjung merosot sebanyak 50 peratus terutama pelancong asing,” luahnya.

Nadiah Galib

Kebimbangan sama turut disuarakan peniaga kedai baju, Nadiah Galib, 25, yang kerap kali menggunakan laluan pejalan kaki di Jalan Masjid India untuk pergi stesen LRT Masjid Jamek.

“Sebelum ini tiada insiden seperti ini, bila berlaku macam ini saya rasa takut dan tak selamat lagi nak lalu jalan kat depan tu, apatah lagi nak bukak kedai ni pun saya takut .

“Kalau dari segi kehadiran pengunjung memang merosot sangat dari jam 9.30 pagi hingga sekrang hanya dapat RM10 sahaja, ditambah berlaku tanah mendap depan kedai kami ini lagilah tiada orang,” luahnya.

Hasbi Idris

Sementara itu, menurut peniaga kedai baju, Hasbi Idris, 67, pada bulan lepas tanah mendap pernah berlaku di hadapan Pondok Polis Masjid India namun berjaya diselesaikan segera oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Tak sangka lepas tanah mendap berlaku tanah jerlus macam sekarang ini.

“Sebagai peniga risau, pendapatan pun terjejas sebab laluan utama di hadapan Jalan Masjid India tidak boleh dilalui lagi oleh pelancong luar.

“Bila dah berlaku macam ini dengan tanah mendap pada jarak 50 meter dari kedai, kami memang terjejas. Hasil merosot berlaku kira-kira 60 peratus jugalah,” ujarnya.

Muhamzah Mohamad

Hasbi berharap pihak kerajaan terutama DBKL dapat menyelenggara dan membaiki dengan segera kejadian tanah mendap di sekitar Jalan Masjid India.

Sementara itu,  Muhamzah Mohamad Wyme, 50, berkata, selama berniaga hampir 20 tahun, tidak pernah berlaku sebarang insiden tanah mendap di sini.

“Sepanjang saya berniaga di sini, tiada apa-apa kejadian seumpama ini berlaku, alhamdulilah kami berniaga dengan rasa gembira dan kebahagiaan.

“Tiada ada apa-apa masalah seperti banjir, tanah mendapat pun tiada, Alhamdulilah. Saya rasa kalau nak terlalu berjaga-jaga pun kita tak perlulah,” jelansya.

Pihak berkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur(DBKL) menutup laluan di kawasan lubang mendapan baru yang telah dikesan awal pagi tadi ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 28 OGOS 2024

 

Sementara itu, tinjauan MalaysiaGazette di sekitar kawasan ini termasuk lorong Jalan Tunku Abdul Rahman mendapati kehadiran pengunjung agak merosot berbanding sebelum ini.

Ditambah pula kejadian tanah mendap dikesan berlaku kira-kira 50 meter dari lokasi insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India di sini sudah pasti menggusarkan orang ramai.

Kejadian mendapan itu dipercayai berlaku sekitar 2.30 pagi tadi susulan hujan lebat dan ribut pada malam tadi.

Bagaimanapun, tinjauan di lokasi mendapati kawasan itu telah ditutup sepenuhnya oleh pasukan keselamatan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast