BAGAN SERAI – Seorang penunggang motosikal cedera selepas dihempap pokok tumbang di Tebuk Panchor, Jalan Ban Pisang di sini tengah malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, seramai sembilan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai digerakkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan.
Menurutnya, setibanya di lokasi kejadian didapati sebatang pokok tumbang merintangi jalan dan menghempap seorang penunggang motosikal.
“Mangsa, seorang lelaki berusia 18 tahun cedera di bahagian kepala dan belakang badan.
“Tindakan ketua operasi mengarahkan anggota memotong pokok menggunakan gergaji lantai (chainsaw) sehingga selesai,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, mangsa yang cedera diberi rawatan awal oleh anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan dihantar ke hospital mendapatkan rawatan lanjut.
“Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Muhammad Shahril Shaharuddin tamat sepenuhnya. – MalaysiaGazette