SHAH ALAM – Presiden Majlis Profesor Negara (MPN) dihadapkan di mahkamah sesyen di sini hari ini dengan tujuh pertuduhan pecah amanah dan menyalahgunakan peruntukan sebanyak RM271,000.
Berdasarkan dua pertuduhan itu, Prof Emeritus Datuk Dr Raduan Che Rose pada 14 Mac dan 3 April 2023 didakwa menyalahgunakan peruntukan MPN dengan meluluskan RM71,000 kepada Kefli Mahpol.
Selain itu, beliau yang juga Pengarah MPN Global Reach Sdn Bhd turut didakwa dengan lima pertuduhan menyalahgunakan wang pendahuluan program UKMShape-MPN Global Reach Sdn Bhd sebanyak RM200,000 dan diberikan kepada individu yang sama.
Beliau dituduh melakukan kesalahan tersebut di antara 5 hingga 15 April 2024.
Walau bagaimanapun, Pengerusi Majlis UiTM itu mengaku tidak bersalah dengan semua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.
Hakim, Datuk Anita Harun kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM40,000 kepada tertuduh, selain mengarahkannya melaporkan diri di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali setiap bulan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin Hau menawarkan supaya mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM70,000 kepada tertuduh.
Namun, peguam yang mewakilinya, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz memohon supaya jumlah ikat jamin yang dikurangkan.
Beliau memohon supaya mahkamah mempertimbangkan jumlah jaminan kerana reputasi dan imej Raduan yang juga merupakan Pengerusi Majlis Universiti Teknologi Mara (UiTM).
“Kami minta sedikit pertimbangan harus diberikan kerana tidak ada sekelumit mengatakan tertuduh menerima faedah peribadi daripada wang transaksi berkenaan.
“Saya mohon mahkamah turut menilai reputasi yang ada pada tertuduh yang beliau ingin pertahankan, nilai yang tidak boleh ditukar dengan wang ringgit,” katanya kepada mahkamah.
Sementara itu, Raduan ketika merayu supaya jaminan terhadapnya dikurangkan berkata beliau masih terkejut terhadap pertuduhan yang dihadapinya hari ini.
Dalam pada itu, Kefli di mahkamah yang sama turut berdepan tujuh pertuduhan bersuhabat dengan Raduan melakukan pecah amanah terhadap semua jumlah yang dikaitkan dengannya.
Hakim kemudian menetapkan jumlah ikat jamin RM40,000 terhadapnya.
Kefli juga diarahkan melaporkan diri di pejabat SPRM Putrajaya sekali sebulan dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan.
Sebutan dan pengurusan kes bagi Raduan dan Kefli adalah pada 23 Oktober 2024.-MalaysiaGazette