Meenakshi.

GEORGE TOWN – Sahabat Alam Malaysia (SAM) meluahkan rasa bimbang keselamatan awam susulan satu lagi tanah mendap dikesan berhampiran Jalan Masjid India, Kuala Lumpur selepas insiden pertama yang menyebabkan pelancong dari India  tertimbus, Jumaat lalu.

Presidennya, Meenakshi Raman berkata, tindakan lebih komprehensif perlu dilakukan bagi melindungi keselamatan awam memandangkan sebahagian kawasan di ibu negara turut terdedah kepada banjir kilat, tanah runtuh dan kegagalan cerun yang berpunca akibat kekerapan musim hujan dan hujan lebat ketika ini.

“Ia bukan sahaja membabitkan sekitar Jalan Masjid India tetapi di semua kawasan berisiko tinggi di bandar raya itu.

“Kemungkinan juga berlaku banjir kilat seperti bencana di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek pada tahun 2020, menyebabkan kerugian besar dan kerosakan termasuk di bahagian lain bandar raya itu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Meenakshi berkata, dalam tragedi tanah jerlus, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu mengeluarkan peta bawah tanah bandar raya berkenaan dan mendedahkan langkah mitigasi serta keselamatan yang sedang diambil bagi mengelak insiden sama berulang.

Katanya, satu jawatankuasa antara agensi yang diselaraskan oleh Datuk Bandar DBKL bagi seliaan, pemantauan dan pemeriksaan kawasan berisiko tinggi perlu ditubuhkan.

“Langkah yang diambil bagi mengurangkan impak bencana itu perlu dimaklumkan kepada umum selain menyediakan papan tanda atau halangan di tempat berisiko tinggi agar orang awam lebih berhati-hati.

“Dalam jangka masa sederhana dan panjang, terdapat keperluan yang jelas bagi rancangan penyesuaian oleh DBKL sebagai tindak balas terhadap impak perubahan iklim dan kejadian cuaca ekstrem.

“Ia merangkumi peningkatan daya tahan infrastruktur, pengurangan risiko dan kerentanan terhadap banjir, memperbaiki kestabilan tanah dan pelaksanaan pendekatan berasaskan ekosistem lain yang bertindak sebagai span serta mengurangkan limpahan air ke dalam longkang dan sungai,” katanya.

Jumaat lalu melaporkan, pelancong India, Vijayaletchumy, 48,  dilaporkan hilang selepas menjadi mangsa tanah jerlus sedalam kira-kira lapan meter di Jalan Masjid India.

Sehingga hari ini, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa giat dilakukan termasuk di kawasan ‘end point’ iaitu loji di Pantai Dalam namun tidak menunjukkan sebarang perkembangan positif. – MalaysiaGazette