MELAKA – Sebanyak 14 laluan utama pelancong sekitar Banda Hilir di sini akan ditutup secara berperingkat hujung minggu ini sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 Peringkat Negeri Melaka, Sabtu ini.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, penutupan sementara itu bertujuan untuk memberi laluan kepada acara perbarisan dan perarakan di hadapan pusat beli belah Mahkota Parade di Jalan Merdeka.
“Penutupan jalan-jalan utama dan lencongan jalan di sekitar tapak sambutan akan dibuat secara berperingkat dalam dua fasa iaitu sesi raptai dan persiapan hari ini dan esok serta sambutan sebenar pada 31 Ogos.
“Ia melibatkan lampu isyarat Hotel Hatten yang mana aliran trafik dari Melaka Raya ke Jalan Parameswara ditutup semasa perarakan dan kenderaan hanya dibenarkan belok kiri ke Jalan Melaka Raya,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, laluan di belakang pusat beli-belah Mahkota Parade juga ditutup dan pengguna jalan raya perlu menggunakan susur di Hotel Holiday Inn.
Selain itu, simpang Menara Taming Sari, laluan ke Jalan Tun Khalil ditutup juga akan ditutup dan aliran trafik keluar dari Plaza Mahkota perlu melalui Jalan PM6 dan kontra di belakang Mahkota Parade ke Jalan Syed Abdul Aziz.
“Pergerakan trafik ke jam besar dilencongkan ke Jalan Banda Kaba dan Jalan Chan Koon Cheng (kontra) menghala ke simpang Hotel Equatorial.
“Laluan ke lampu isyarat Meng Seng pula dilencongkan ke Jalan Puteri Hang Li Po manakala Jalan Temenggong, laluan ke lampu isyarat Padang Nyiru ditutup,” jelasnya.
Laluan lain yang ditutup adalah di Jalan Bunga Raya Pantai, simpang Jalan Kee Ann, simpang Jalan Tun Mamat dan simpang Jalan Graha Maju ke Jalan Hang Tuah, simpang Jalan Kubu ke Jalan Hang Tuah dan ke Jalan Tan Chay Yan. – MalaysiaGazette