Dua anggota polis cedera akibat tertimbus tanah semasa menjalankan tugas pemusnahan bom di tapak perumahan, Jalan Tabah Taman Sri Lambak, Kluang petang semalam.

JOHOR BAHRU – Polis sedang menjalankan siasatan terperinci punca sebenar kejadian dua anggota cedera parah semasa menjalankan tugas memusnahkan bom di Taman Sri Lambak, Kluang, semalam.

Ketua Polis Johor, Komioner M Kumar berkata, siasatan yang dijalankan itu termasuk bagi mengenal pasti sekiranya terdapat kelonggaran daripada sudut prosedur operasi standard (SOP).

“Polis dalam proses mengkaji dan siasat punca sebenar kejadian tersebut, namun masih terlalu awal untuk diberi ulasan.

“Beri ruang kepada polis untuk jalankan siasatan termasuk sekiranya ada kelonggaran dari sudut SOP dan sebagainya,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten komisioner Bahrin Mohd Noh hari ini dilaporkan berkata, kejadian itu menyebabkan Koperal Abdul Halim Zainal, 39, patah tulang pinggul dan tiga tulang rusuk sebelah kiri.

Koperal Muhammad Faruuqi Shamsary, 34, pula patah tulang peha dan tulang rusuk sebelah kiri.

Bahrin berkata, kejadian pada 2.20 petang itu berlaku ketika kedua-dua anggota dari IPK Johor dalam penugasan memusnah bom lama jenis Aerial 500 Lbs 1952 yang ditemui orang awam di lokasi kejadian.

Namun, ketika kerja-kerja memusnah bom dijalankan, berlaku runtuhan tanah pada dinding lubang di lokasi sehingga menyebabkan kedua-dua mereka tertimbus dan cedera.

Mengulas lanjut, Kumar berkata, kejadian seumpama itu kali pertama berlaku dan memaklumkan bom itu yang seharusnya dimusnahkan semalam, sedang dalam proses untuk dilupuskan.

Beliau berkata, kedua-dua anggota itu yang sebelum ini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di Kluang telah dipindahkan ke wad biasa.- MalaysiaGazette

Dua anggota polis parah semasa jalankan tugas musnahkan bom