Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) akan melancarkan projek melibatkan bekalan air yang dikenali sebagai Dana Transformasi Air SPAN (DTAS) sempena sambutan Hari Kebangsaan, bermula 31 Ogos ini.

SPAN dalam satu kenyataan menyatakan, DTAS berfungsi sebagai pembiayaan alternatif yang menumpukan kepada pelaksanaan projek skala kecil terutamanya di kawasan luar bandar.

“Ia melibatkan kos tidak melebihi RM50,000 bagi setiap projek, merangkumi pembinaan infrastruktur baharu mahupun kerja baik pulih terhadap fasiliti sedia ada di sesuatu kawasan,” kata SPAN dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut SPAN, DTAS terbuka kepada pemohon warganegara Malaysia daripada wakil organisasi bukan kerajaan (NGO), rumah ibadat, institusi pendidikan, badan kebajikan yang berdaftar mahupun Jawatankuasa Penduduk.

“Permohonan daripada individu adalah tidak dibenarkan.

“Pemohon perlu melengkapkan borang yang disediakan dengan menyertakan lampiran berupa maklumat pendaftaran dan tiga sebut harga daripada kontraktor berdaftar dan mempunyai permit sah daripada SPAN,” katanya.

Selain itu, DTAS yang dilaksanakan disyaratkan boleh memberi manfaat berkekalan atau dalam jangka masa panjang kepada penerima dengan jumlah minima 50 individu atau 12 keluarga di kawasan penempatan berkenaan.

“Pelaksanaan projek adalah terhad kepada lokasi-lokasi di Semenanjung Malaysia dan Labuan sahaja.

“Garis panduan serta borang permohonan boleh diperolehi daripada laman sesawang www.span.gov.my. Borang yang telah lengkap diisi perlu dikemukakan kepada SPAN melalui e-mel ke alamat [email protected],” kata SPAN.

Sebelum ini, SPAN memperuntukkan sejumlah RM5 juta untuk pelaksanaan kira-kira 100 projek berkaitan dari 2024 hingga 2026.

“Pelaksanaan DTAS merupakan antara usaha SPAN dalam mentransformasikan perkhidmatan air.

“Dalam masa sama, ia mendokong usaha Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ke-6 iaitu memastikan ketersediaan dan kelestarian pengurusan air serta sanitasi untuk semua,” kata kenyataan itu lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast