Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengesan taktik baharu satu sindiket penipuan telefon atau phone scam yang memperdaya mangsa dengan menawarkan skim pelaburan kononnya dianjurkan institusi perbankan tertentu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya telah menerima satu laporan polis pada 27 Ogos lalu daripada seorang suri rumah berusia 85 tahun.

Katanya, pengadu warga emas itu mendakwa dia telah menerima panggilan daripada individu yang menyamar sebagai pegawai dari sebuah bank tempatan.

“’Pegawai’ tersebut kemudiannya menawarkan pelaburan simpanan tetap dengan kadar dividen 4.8 peratus setahun kepada mangsa.

“Mangsa kemudian diarahkan sindiket untuk memindahkan kesemua wang miliknya akaun milik wanita warga emas itu dengan nilai keseluruhan RM1,372,886.45.

‘Mangsa kemudiannya diarahkan untuk mengaktifkan sistem perbankan internet bagi kedua-dua akaun bank tersebut dan memberikan akses kepada pihak sindiket bagi tujuan pengurusan wang pelaburan,” katanya dalam sidang media di Menara KPJ hari ini.

Tambah Ramli, mangsa hanya menyedari dirinya telah ditipu sindiket berkenaan apabila mendapati kesemua wang dalam dua akaun simpanannya hilang.

Kes berkenaan sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Ramli berkata, dalam kes penipuan telefon seperti ini, taktik yang kerap digunakan sindiket untuk memperdaya mangsa adalah dengan menyamar sebagai pegawai bank, polis, mahkamah dan seumpamanya.

Bagi menakutkan mangsa, panggilan juga akan dipindahkan dari satu agensi ke agensi lain kononnya untuk tujuan siasatan dan sebagainya.

“Pindahan panggilan antara agensi sebagaimana berlaku dalam kes sebegini bukanlah cara kerja agensi kerajaan.

“Mana-mana agensi kerajaan tidak akan memindahkan panggilan ke agensi lain sewenang-wenangnya dan sekiranya menerima panggilan yang meragukan dan dipindahkan dari satu agensi ke agensi lain, ketahuilah ia adalah penipuan.

“Jadi tamatkan panggilan tersebut bagi mengelak dari menjadi mangsa penipuan,’ ujar beliau.

Dalam satu lagi perkembangan lain, Ramli juga mendedahkan terdapat maklumat wujudnya tawaran perkhidmatan untuk memperoleh kembali wang mangsa yang ditipu sindiket.

Kata beliau, ejen yang menawarkan perkhidmatan ini dikatakan berupaya untuk memproses urusan pengembalian wang yang telah dipindahkan ke akaun orang lain.

Bagaimanapun polis ingin menjelaskan disini bahawa terdapat proses undang-undang yang perlu dipathi dalam urusan sebegini, ujarnya.

“Siasatan sewajarnya oleh agensi berkaitan termasuklah PDRM dan pihak bank perlu dilengkapkan sebelum wang yang telah dipindahkan ke akaun orang lain diputuskan oleh pihak mahkamah.

“Saya minta orang ramai memahami sebarang bentuk tawaran perkhidmatan sebegini yang datangnya dari individu persendirian adalah satu penipuan” tambah beliau. – MalaysiaGazette