KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin agar tidak menjadikan pendakwaan Tan Sri Muhyiddin Yassin di bawah Akta Hasutan sebagai modal politik.
Beliau berkata, Muyhiddin perlu berdepan pertuduhan itu kerana Presiden Bersatu itu telah menyentuh kewibawaan Yang di-Pertuan Agong ke-16 dalam ceramahnya dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
“You melanggar peraturan dan you terlanjur, you have to deal with it (anda kena tanggung). Jadi tak usah dipusing, dia tahu, dia nak main politik.
“Saya nak nasihat isu ini diangkat oleh Istana Pahang dan Istana Selangor.
“Laporan dibuat, polis ambil laporan daripada Istana Pahang, sebelumnya Istana Selangor, dan Peguam Negara ambil tindakan susulan,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Terdahulu Perdana Menteri menyempurnakan Majlis Perasmian dan Pecah Tanah Projek Rumah Madani, Residensi Madani di Taman Desa, di sini.
Terdahulu, media melaporkan Hamzah melabelkan Anwar dan Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan hipokrit kerana menggunakan Akta Hasutan terhadap Presiden Bersatu itu sedangkan menentang akta zalim itu sebelum berkuasa.
Tuduhan Hazmah itu merujuk kepada pendakwaan terhadap Muhyiddin mengikut Akta Hasutan di Mahkamah Gua Musang pada 27 Ogos lalu, susulan ceramahnya berkait raja, agama dan kaum (3R) dalam kempen PRK DUN Nenggiri, baru-baru ini.
Polis sebelum ini menyiasat laporan dibuat terhadap Pengerusi Perikatan Nasional itu mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 504 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette