Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR – Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan (Suruhanjaya) dan syor berkaitannya akan dibahaskan di Dewan Rakyat.

Memberi jaminan berkenaan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata laporan berkenaan telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini.

“Laporan dibentangkan oleh Pengerusi Suruhanjaya, Tun Md Raus Sharif,” katanya ringkas menerusi kenyataan.

Pada 18 Jun lalu Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah dipersembahkan laporan terkini Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Untuk Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Sebagai rekod, RCI ditubuhkan selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119).

Pada 23 Mei 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh manakala Batuan Tengah yang terletak tidak sampai satu kilometer dari pulau itu milik Malaysia.

Selain itu, ICJ turut memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer dari Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.

Pada 2 Febuari 2017, Malaysia telah memfailkan permohonan bagi semakan terhadap keputusan ICJ (23 Mei 2008) namun pada Mei 2018, Kerajaan Pakatan Harapan di bawah pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menarik balik permohonan itu dua minggu sebelum kes dijadualkan didengar pada 11 Jun 2018.

Kemudian 27 Febuari lepas, Azalina berkata penubuhan RCI itu adalah bagi mencari jalan penyelesaian serta mengorak langkah penambahbaikan berkaitan sebarang isu membabitkan kedaulatan negara dan bukan untuk mencari kesalahan mana-mana pihak.

Jelasnya, khususnya rakyat negeri Johor, wajar diberikan penjelasan mengenai sebab dan faktor sebenar yang mendorong keputusan untuk tidak meneruskan Permohonan Semakan dan Permintaan Tafsiran kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan di ICJ.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast