KUALA LUMPUR – Dua lelaki termasuk seorang pelajar 12 tahun ditahan kerana terlibat kes kecurian dalam sebuah kereta di Taman Cahaya, Ampang, Selangor pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun kira-kira jam 1.30 pagi.
“Pengadu yang bekerja sebagai pemandu e-Hailing telah meletakkan keretanya jenis Alza di luar pagar hadapan rumah dalam keadaan tidak berkunci.
“Kemudian sekitar jam 5 pagi, semasa dia ingin menggunakan kereta itu mendapati bahagian dalam keadaan kenderaan tersebut berselerak dan beberapa barangan berharga miliknya telah hilang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Susulan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ampang Jaya berjaya menahan kedua-dua suspek kira-kira jam 11.30 malam semalam di Pandan Indah.
“Hasil semakan dapati suspek berusia 21 tahun itu mempunyai sembilan rekod jenayah tidak dikehendaki manakala ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas kedua-dua suspek adalah negatif.
”Melalui tangkapan suspek pertama, pihak polis juga berjaya merampas sebuah motosikal yang masih lagi dilaporkan hilang di kawasan Shah Alam.
“Bagaimanapun, kedua-dua suspek telah dibawa ke Mahkamah Ampang dengan suspek pertama dikenakan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga 1 September manakala suspek kedua dibenarkan tahanan reman selama sehari iaitu hari ini,” ujarnya.
Tambah beliau, kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali dan bagi kesalahan kali kedua boleh dikenakan penjara serta sebatan. – MalaysiaGazette