Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menyelamatkan enam wanita warga asing yang menjadi hamba seks di sebuah rumah kedai tiga tingkat tidak bernama di Kuala Lumpur, pada Rabu.

KUALA LUMPUR – Enam wanita warga asing termasuk lima dari Vietnam dan seorang warga Thailand menjadi ‘hamba seks’ akibat dilacurkan secara paksaan kerana terpedaya dengan tawaran peluang pekerjaan tidak wujud di negara ini.

Modus operandi sindiket yang menjanjikan peluang pekerjaan yang sah, bagaimanapun mangsa dieksploitasi sebagai pekerja seks sebaik tiba di negara ini.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Ruslin Jusoh berkata, sindiket kemudiannya mempromosikan wanita warga asing itu melalui aplikasi dalam talian yang mana mangsa yang dipilih akan diuruskan langganannya di premis tertentu.

“Sindiket mengaut keuntungan berlipat ganda hasil daripada mengeksploitasi mangsa dengan mengenakan kadar bayaran sebanyak RM240 bagi sejam langganan.

“Sebaliknya mangsa hanya diberikan upah sebanyak RM100 bagi tempoh tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu beliau mengetuai operasi membanteras pemerdagangan orang dan penyeludupan migran jam 10 malam semalam, melibatkan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Pencegahan ATIPSOM & AMLA dan Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

Menurut Ruslin, JIM juga berjaya menyelamatkan enam wanita warga asing itu di sebuah rumah kedai tiga tingkat tidak bernama di sini, pada Rabu.

Seorang lelaki warganegara tempatan, disyaki berperanan sebagai ‘handler’ dan ‘captain’ yang mengawal enam wanita warga asing untuk mendapatkan keuntungan daripada eksploitasi orang yang diperdagangkan.

“JIM turut menahan seorang lelaki warganegara tempatan, disyaki berperanan sebagai ‘handler’ dan ‘captain’ yang mengawal wanita warga asing ini dan seterusnya mendapatkan keuntungan daripada eksploitasi orang yang diperdagangkan,” katanya.

Dalam pada itu katanya, operasi ini menggunakan pendekatan mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang (eksploitasi seks) dalam kalangan golongan rentan dengan berpandukan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0.

“Berdasarkan maklumat yang diperolehi dari sumber aduan dan risikan yang dijalankan, JIM tidak menolak kemungkinan aktiviti ini melibatkan sindiket.

“Pergerakan kesemua wanita ini terbatas dan dikawal sepenuhnya oleh ‘handler’.

“Makanan juga hanya dipesan melalui aplikasi Grab Food, tidak dibenarkan keluar untuk mendapatkan barangan keperluan diri dan pasport turut dipegang sindiket,” katanya.

Selain itu, suspek yang ditahan kini disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670).

“JIM sentiasa memandang serius perkara seumpama ini dan meneruskan operasi penguatkuasaan serta mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak didapati melakukan kesalahan pemerdagangan orang di bawah ATIPSOM 2007 (AKTA 670).

“Sabit kesalahan, individu terlibat boleh dikenakan hukuman pemenjaraan seumur hidup atau pemenjaraan selama tempoh tidak kurang lima tahun, dan boleh juga dihukum sebat bagi kesalahan pemerdagangan orang lebih berat,” katanya.

Katanya, JIM mengalu-alukan kerjasama masyarakat sekiranya mempunyai maklumat tentang jenayah pemerdagangan orang.

“Ia bagi memastikan tindakan undang-undang boleh diambil, selaras usaha kerajaan membanteras jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran.

“Sebarang aduan atau maklumat boleh disalurkan ke Bahagian Pencegahan ATIPSOM & AMLA melalui talian 03-8880 1471 atau e-mel: [email protected],” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast