Jenazah anggota penyelam TLDM yang meninggal dunia ketika melaksanakan operasi salvaj menyelamatkan bangkai Kapal Diraja (KD) Pendekar yang karam di perairan Tanjung Penyusop, Kota Tinggi semalam, siap dibedah siasat di HSAI, Johor Bahru, hari ini

JOHOR BAHRU – Jenazah anggota penyelam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang meninggal dunia ketika melaksanakan operasi salvaj menyelamatkan bangkai Kapal Diraja (KD) Pendekar yang karam di perairan Tanjung Penyusop, Kota Tinggi semalam dituntut ahli keluarga selepas proses bedah siasat selesai pagi ini.

Jenazah Laskar Kelas 1 PLM Arman San Hermansa, 28, dituntut isterinya, Norazliana Bakric, 25, di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini pukul 12.50 tengah hari bagi urusan pengebumian di kampung halamannya di Lahad Datu, Sabah.

Jenazah Allahyarham dibawa dari HSI ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) menggunakan van jenazah TLDM sebelum diterbangkan ke Lapangan Terbang Tawau, Sabah menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Van membawa jenazah Arman San Hermansa keluar dari Hospital Sultan Ismail menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.

Suasana pilu menyelubungi perkarangan jabatan perubatan forensik hospital berkenaan apabila kira-kira 100 ahli keluarga serta anggota dan pegawai TLDM hadir memberikan penghormatan terakhir.

Terdahulu TLDM dalam satu kenyataan mengesahkan kejadian yang menimpa mangsa yang merupakan anggota penyelam ranjau dari Marks Selam dan Peperangan Periuk Api (MSPPA) TLDM.

Artikel berkaitan: Penyelam TLDM maut ketika operasi salvaj KD Pendekar

MINDEF tunggu laporan punca kapal KD Pendekar karam

KD Pendekar tenggelam sepenuhnya

KD Pendekar bocor dan banjir, semua kru selamat

Susulan insiden itu satu lembaga siasatan khas telah ditubuhkan bagi mengenal pasti punca kejadian.

TLDM juga akan memastikan segala bentuk bantuan dan sokongan disalurkan kepada keluarga Allahyarham.

KD Pendekar Tenggelam di perairan Tanjung Penyusop selepas mengalami kebocoran dipercayai akibat terlanggar objek bawah air pada Ahad lalu.

Bagaimanapun usaha pantas komuniti maritim berjaya menyelamatkan kesemua 39 kru sebelum kapal itu tenggelam.- MalaysiaGazette