KUALA LUMPUR – Seorang penganggur warga asing cuba membunuh tiga rakannya menggunakan sebilah pisau dan kayu kerana berang sering ditegur dan berselisih faham mengenai hal keluarga.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, dalam kejadian 2.45 petang semalam, suspek berusia 30 tahun itu telah mencederakan tiga warga asing di kediamannya, Jalan Bunga Tanjung 12, Taman Muda, Pandan Indah.
“Mangsa dua lelaki warga asing berumur 18 dan 28 tahun berada bersama suspek di ruang tamu rumah dapati suspek telah memotong buah dengan menggunakan pisau.
“Seterusnya, terjadi perselisihan faham antara mangsa dan suspek di rumah tersebut dan berlaku pergelutan sehingga suspek telah mencederakan dua mangsa dengan menggunakan sebilah pisau dan kayu.
“Seorang lagi mangsa satu lelaki warganegara asing berumur 30 tahun telah sampai ke rumah, lalu suspek juga telah mencederakan mangsa tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun katanya, suspek yang berusia 31 tahun itu berjaya dicekup sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di alamat sama, kira-kira jam 4 petang, pada Rabu.
“Pihak polis dengan dibantu pasukan Forensik Bukit Aman telah membuat rampasan sebilah pisau, dua batang kayu dan dua helai pakaian bagi membantu siasatan.
“Hasil ujian air kencing terhadap suspek dapati negatif dadah. Siasatan awal pihak polis dapati mangsa dan suspek tinggal serumah,” katanya.
Katanya lagi, Mahkamah Ampang turut membenarkan suspek ditahan reman selama tujuh hari, bermula hari ini hingga 4 September.
“Kes disiasat bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan merujuk kepada mencuba membunuh orang.
“Hukuman Seksyen 307 Kanun Keseksaan hendaklah dihukum dengan penjara yang boleh sampai 20 tahun,” katanya lagi. – MalaysiaGazette