Petugas Indah Water Konsortium bersama Anggota Jabatan Bomba dan Anggota Polis (PDRM) menjalankan tugas ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India yang hilang dalam insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 26 OGOS 2024

KUALA LUMPUR – Fenomena lubang benam atau`sinkhole’ yang disebabkan faktor semula jadi atau disebut kars adalah kejadian yang amat jarang berlaku termasuk di bandar raya Kuala Lumpur.

Pakar geologi, Dr. Elanni Md Affandi berkata, beberapa kejadian lubang benam yang dilaporkan berlaku sebelum ini berpunca daripada kejadian seperti saluran paip pecah, paras air bawah tanah yang berubah serta kerja-kerja pembinaan.

Sehubungan itu, beliau yang juga Pensyarah Kanan Jabatan Geologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya (UM), berkata, sudah tiba masanya pihak berkuasa dengan bantuan pelbagai pakar mengkaji risiko bawah tanah di Kuala Lumpur dan interaksi dengan sistem utiliti atau infrastruktur yang ‘ditanam’ oleh manusia.

Pensyarah Kanan Jabatan Geologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya (UM), Dr. Elanni Md Affandi. – Foto: Sumber UM

Ujarnya, kajian dan siasatan yang menyeluruh membabitkan semua pihak berkenaan dengan bantuan alat geofizik mampu memberikan gambaran yang jelas mengenai keadaan bawah tanah Kuala Lumpur.

“Adakah kejadian ini di Jalan Masjid India dinamakan tanah jerlus, lubang benam atau hanya sekadar mendapan tanah yang tercetus oleh kegagalan reka bentuk sistem utiliti?

“Insiden mendapan tanah di tempat yang sama sebelum ini menunjukkan kawasan tersebut berisiko tinggi, namun apa tindakan susulan yang dibuat oleh pihak berkuasa, atau sekadar membaiki permukaan yang kita nampak sahaja?” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi pandangan yang dimuat naik di laman sosial Facebook Jabatan Geologi (UM) baru-baru ini.

Tambah Elanni, ancaman terbesar di sesebuah bandar yang membangun bukanlah petaka semula jadi tetapi daripada tindakan manusia sendiri.

Jelas beliau, kehilangan nyawa, kerosakan dan kerugian yang terhasil boleh dikurangkan melalui reka bentuk infrastruktur, pemantauan dan usaha mitigasi yang berkesan.

“Melihat kepada fasa pembangunan yang pesat di Kuala Lumpur, informasi geosaintifik perlu dikongsi dan diterapkan dalam pelan pembangunan secara menyeluruh mengambil kira faktor-faktor antropogenik untuk meningkatkan daya tahan bandar terhadap bencana akibat perubahan iklim serta dari kerja-kerja pembangunan,” katanya.

Sementara itu, menerusi pandangan sama, Elanni turut menjawab berhubung dakwaan yang tular di media sosial kononnya Kuala Lumpur berisiko tenggelam atau jatuh ke dalam gua besar.

Menjelaskan lebih lanjut, katanya, berdasarkan sejarah, Kuala Lumpur adalah sebahagian Lembah Klang yang merupakan kawasan lombong timah sejak tahun 1850-an.

Disebabkan kedudukan bandar itu di paras yang sangat rendah yang dikenali sebagai dataran `alluvial’ atau dataran banjir, maka tidak hairan banjir kerap berlaku di ibu kota.

“Namun, kadar taburan hujan yang lebih kerap dan keamatan yang tinggi (akibat perubahan iklim) telah meningkatkan lagi proses yang menyumbang kepada petaka geologi seperti tanah runtuh, lubang benam dan tanah mendap.

“Kita perlu belajar untuk beradaptasi dengan keadaan semasa di mana petaka geologi adalah sesuatu yang bukan luar biasa lagi,” katanya. – MalaysiaGazette