Bekas Timbalan Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim membuat laporan polis berhubung dakwaan mengatakan beliau terlibat aktiviti pemerdagangan manusia Foto FB Mashitah Ibrahim

KUALA LUMPUR- Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim menafikan penglibatan dalam sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar seperti yang ditularkan di media sosial.

Sehubungan itu katanya, satu laporan polis telah dibuat dan beliau juga telah memberi keterangan berhubung perkara itu di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, semalam.

Tegas beliau, maklumat yang disebarkan di media-media sosial itu adalah tidak benar.

“Maklumat itu dikutip daripada media picisan media negara seberang.

“Kebetulan kawan saya ajak bergambar sahaja pada projek dia di sana.

“Saya tidak akan teragak-agak ambil tindakan mahkamah pada pihak cuba mengaitkan saya dengan fitnah ini yang bertujuan untuk menjatuhkan reputasi saya,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Semalam, Pertubuhan Kemanusian Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) dilaporkan terkejut dengan penglibatan aktif seorang ahli politik dengan kumpulan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.

Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim mendakwa ahli politik itu bersama suaminya dipercayai terlibat dengan sebuah syarikat dalam aktiviti-aktiviti jenayah di Myanmar.

Ia susulan video tular disiarkan di YouTube berhubung pembongkaran sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.

Video itu diterbitkan di Indonesia kerana ramai rakyat itu menjadi mangsa sindiket terbabit.-MalaysiaGazette

 

ARTIKEL BERKAITAN

MHO terkejut ahli politik terlibat sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar