Operasi Bersepadu Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor Bersama agensi penguatkuasaan membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Taman Perindustrian Alam Jaya, Bandar Puncak Alam, Kuala Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 28 OGOS 2024

KUALA SELANGOR – Tindakan menggunakan perkhidmatan pengangkutan e-hailing antara taktik warga asing untuk meloloskan diri daripada ditahan pihak berkuasa dalam satu operasi bersepadu, di sini, hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Mohd Ambia Nordin berkata, mereka hanya mengambil kurang sejam untuk menempah e-hailing dan melarikan diri sebelum kehadiran kehadiran pihak berkuasa.

“Risikan awal polis di lokasi titik panas penempatan warga asing di Bandar Puncak Alam mendapati, kebanyakan mereka masih berada sekitar kawasan ruumah kedai dan pangsapuri berdekatan.

“Bagaimanapun sebaik sahaja polis tiba di lokasi sasaran, kebanyakan mereka berjaya melarikan diri dengan menaiki kenderaan e-hailing.

“Kehadiran kereta e-hailing yang menunggu penumpang dalam jumlah luar biasa menimbulkan tanda tanya terjawab apabila kebanyakannya dinaiki warga asing,” katanya kepada MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau mengetuai Operasi Bersepadu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di sekitar Taman Perindustrian Alam Jaya, Bandar Puncak Alam, di sini, bermula jam 6.30 petang hingga 12.30 tengah malam tadi.

Operasi Bersepadu Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor Bersama agensi penguatkuasaan membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Taman Perindustrian Alam Jaya, Bandar Puncak Alam, Kuala Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 28 OGOS 2024

Turut serta dalam operasi sama ialah Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pendaftaran Malaysia (JPN) dan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS).

Beliau juga memberitahu, terdapat beberapa warga asing menguncikan diri di dalam rumah kedai yang diubah suai menjadi asrama pekerja dan memantau pergerakan pihak berkuasa melalui kamera litar tertutup (CCTV).

“Apabila pintu premis mereka dipecah, seorang warga Myanmar cuba melarikan melalui tingkap dan melompat ke atas awning.

“Bagaimanapun lelaki terbabit masuk semula ke dalam premis apabila perbuatannya disedari pihak polis,” katanya.

Selain itu, katanya, seorang lagi warga asing yang berjaya dicekup turut menguncikan diri di dalam rumah kedai berhampiran.

“Ketika ditahan, warga Myanmar itu sudah bercangkung dan mengoncangkan tangan beberapa kali, meminta dirinya dilepaskan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette