Seorang penjawat awam maut apabila digilis sebuah kereta Perodua Myvi selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta Proton Saga dekat stesen minyak Shell, Dataran Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor, hari ini.

HULU SELANGOR – Seorang penjawat awam maut digilis sebuah kereta Perodua Myvi selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta Proton Saga dekat stesen minyak Shell, Dataran Kuala Kubu Bharu di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.15 pagi itu, mangsa yang berusia 32 tahun itu dalam perjalanan dari rumahnya di Hulu Bernam menghala ke tempat kerja di Kuala Kubu Bharu.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superitenden Ahmad Faizal Tahrim berkata, kemalangan berlaku apabila Proton Saga dipandu seorang lelaki berusia 73 tahun dari arah Rawang membelok ke kanan menghala stesen minyak Shell Jalan Kuala Lumpur- Ipoh.

“Tiba-tiba motosikal jenis Suzuki FU150 yang datang dari arah bertentangan telah melanggar bahagian sebelah kiri Proton Saga dan mengakibatkan penunggang motosikal jatuh di jalan raya.

“Akibat kemalangan itu, motosikal tercampak ke laluan bertentangan, mangsa pula terjatuh bersebelahan Proton Saga.

“Kemudiannya penunggang motosikal itu dilanggar kereta Perodua Myvi yang dipandu seorang perempuan berusia 25 tahun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Seorang penjawat awam maut apabila digilis sebuah kereta Perodua Myvi selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta Proton Saga dekat stesen minyak Shell, Dataran Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor, hari ini.

Ahmad Faizal juga berkata, penunggang motosikal berkenaan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang bertugas.

“Bedah siasat telah dijalankan di Hospital Kuala Kubu Bharu dan mendapati punca kematian adalah keceraan teruk di kepala,” katanya.

Katanya lagi, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat tentang kemalangan untuk tampil membantu siasatan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast