Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh

KLUANG – Seorang penjawat awam rugi RM119,300 selepas terpedaya dengan helah dua suspek yang menyamar sebagai pegawai keselamatan siber dan pegawai polis, pada 8 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pada mulanya wanita berusia 54 tahun itu mendapat panggilan telefon daripada dua ‘pegawai’ berkenaan.

“Mangsa terperanjat apabila didakwa terbabit dalam jenayah penyeludupan dadah dan penggubahan wang haram bernilai RM2.68 juta.

“Atas sebab bimbangkan keselamatan diri, mangsa menuruti permintaan suspek supaya mengisi maklumat perbankan diri dalam pautan yang kononnya aplikasi Bank Negara Malaysia (BNM),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pada 5 Jun lalu, mangsa menerima mesej memaklumkan terdapat 12 transaksi secara atas talian melibatkan akaun bank miliknya berjumlah RM119,300 dilakukan.

Mangsa ujarnya, cuba menghubungi suspek bagi mendapatkan penjelasan namun tidak berjaya.

Susulan itu, mangsa yang mengesyaki telah ditipu tampil membuat laporan polis pada 23 Ogos lalu.

Beliau berkata, polis telah membuka satu kertas siasatan bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan ke atas laporan polis tersebut yang mana jika disabit kesalahan boleh dihukum sehingga 10 tahun penjara dan sebatan atau dengan denda.

“Polis Daerah Kluang menyeru orang awam agar lebih berhati-hati terutama apabila menerima panggilan telefon dari nombor yang tidak dikenali.

“Buat semakan terlebih dahulu dan sentiasa mengikuti laman sosial polis seperti Facebook, Instagram dan Tiktok bagi membuka minda dan pengetahuan tentang modus operandi terbaharu jenayah komersil khasnya,” katanya.- MalaysiaGazette