Petugas kesihatan sibuk melakukan kerja-kerja merawat pesakit di ICU Hospital UiTM dekat Sungai Buloh, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 28 OGOS 2021.

SHAH ALAM – Petugas kesihatan dijangka menerima berita gembira mengenai kenaikan kadar elaun tugas atas panggilan (in call), tidak lama lagi.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, beliau telah mengemukakan isu tersebut kepada Jemaah Menteri baru-baru ini dan cadangan tersebut mendapat respons positif daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya telah menyampaikannya kepada Kabinet dan dapat respons positif daripada Kabinet dan perdana menteri.

“Jadi kita nantikan, soalnya berapa, jumlahnya, yang penting dapat respons positif daripada perdana menteri yang juga menteri kewangan. Jadi nantikan berita gembira itu,” katanya,

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Program MyGenom yang berlangsung di Institut Kesihatan Negara, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang.

Dzulkefly memberi bayangan berita tersebut akan diumumkan semasa pembentangan Bajet 2025 akan datang.

Sebelum ini, HDK mendakwa walaupun ada penyelarasan gaji untuk kakitangan awam namun terdapat keperluan mendesak menyemak semula elaun on call untuk semua petugas kesihatan.

Ini kerana, jelasnya kadar itu l tidak disemak selama lebih sedekad.-MalaysiaGazette