KLUANG – Polis hari ini memusnahkan bom lama jenis Aerial seberat 500 Lbs yang ditemui ketika kerja-kerja pembersihan kawasan perumahan di Jalan Tabah di Taman Sri Lambak, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, bom tahun 1952 yang dipercayai digunakan ketika perang dunia kedua itu dimusnahkan kira-kira pukul 5 petang.

“Kerja-kerja pemusnahan bom lama itu telah berjaya dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Unit Pemusnah Bom (UPB) Bukit Aman dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang.

“Sebelum itu, penemuan sebutir bom lama jenis Aerial itu telah dilaporkan kepada Balai Polis Renggam oleh pekerja syarikat pemaju yang membersihkan kawasan tapak perumahan berhampiran Jalan Tabah di Taman Sri Lambak pukul 8.50 pagi kelmarin.

“Sehubungan itu, sepasukan pegawai dan anggota Unit Pemusnah Bom daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan IPD Kluang dihantar ke lokasi penemuan,” katanya dalam kenyataan ringkas, hari ini.

Katanya, kerja-kerja pemusnahan bom lama itu sebelum ini terbantut selepas lubang tempat memusnahkan bom tersebut runtuh dan menyebabkan dua anggota UPB cedera dan dikejarkan ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini.

“Kerja-kerja memusnahkan bom lama itu disambung hari ini dan berjaya dilakukan kira-kira pukul 5 petang tadi,” katanya.- MalaysiaGazette