KLUANG – Kerajaan memperuntukkan RM100 juta untuk 279 kerja penyelenggaraan jalan-jalan Persekutuan seluruh Semenanjung pada tahun ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, peruntukan itu melibatkan kerja berkala laluan pejalan kaki serta berkala bukan laluan pejalan kaki di jalan Persekutuan.

“Kerja-kerja berkala laluan pejalan kaki iaitu 79 kerja penyelenggaraan melibatkan perbelanjaan RM70 juta manakala 200 kerja penyelenggaraan berkala bukan pejalan kaki berjumlah RM30 juta.

“Kerja-kerja penyelenggaraan wilayah selatan melibatkan tiga buah negeri iaitu Negeri Sembilan, Melaka dan Johor sebanyak RM21.56 juta digunakan melaksanakan 54 kerja penyelenggaraan kedua-dua kerja projek tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Cabutan 54 Kerja Penyelenggaraan Jalan Zon Selatan Bernilai RM21.56 juta untuk Kontraktor Kecil Bumiputera G1 – G4 di Dewan Serbaguna JKR Kluang, Jalan Sentosa di Taman Idaman, di sini hari ini.

Katanya, Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dan Kementerian Ekonomi sudah meluluskan peruntukan tambahan penyenggaraan jalan Persekutuan seluruh Semenanjung Malaysia bagi memperkasa Kontraktor Bumputera G1-G4.

Bagi Zon Selatan sebanyak 18 kerja berkala laluan pejalan kaki bernilai RM15.06 juta ditawarkan dengan Johor 10 kerja (RM8.05 juta), Melaka dua kerja (RM1.61 juta) dan Negeri Sembilan enam kerja (RM5.4 juta).

“Kerja-kerja penyenggaraan jalan berkala laluan pejalan kaki melibatkan kerja pembaikan turapan dan struktur jalan yang rosak menggunakan pelbagai teknik yang bertepatan dengan jenis kerosakan, pembinaan semula struktur jalan  dan menurap semula turapan jalan.

“Bagi berkala bukan laluan pejalan kaki pula, sebanyak 36 kerja bernilai RM6.5 juta ditawarkan. Pecahannya ialah Johor 19 kerja (RM3.7 juta), Melaka 6 kerja (RM555,000) dan Negeri Sembilan 11 kerja (RM2.245 juta),” katanya.

Tambahnya lagi, penyelenggaraan berkala bukan laluan pejalan kaki melibatkan kerja-kerja pembaikan aset-aset jalan selain daripada struktur dan turapan jalan seperti mengecat garisan jalan, penyenggaraan jambatan, membaiki longkang, membaik pulih papan tanda, membaiki penghadang jalan serta  sebagainya.

Sementara itu, beliau berkata, perlantikan kontraktor secara cabutan undi ini dikhususkan kepada Kontraktor Bumiputera Gred G1 – G4 yang layak sama ada daripada segi rekod prestasi dan mempunyai pendaftaran lesen yang masih sah dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), mempunyai Sijil Taraf Bumiputera (STB) dan berdaftar mengikut had nilai kerja yang disenaraikan.

“Kementerian Kerja Raya (KKR) berharap agar semua kontraktor yang terpilin melalui cabutan undi ini akan memberikan penekanan kepada aspek mutu kualiti terutama daripada segi mengikuti spesifikasi standard yang ditetapkan, kos dan masa, serta mengutamakan keselamatan di kawasan kerja.

“KKR melalui JKR tidak akan berkompromi terhadap isu-isu berkaitan kualiti kerja pembinaan dan penyenggaraan dalam memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya sentiasa diutamakan selaras dengan hasrat Program MY Jalan KKR,” katanya.- MalaysiaGazette