Chan Foong Hin ketika mengadakan lawatan di NextGreen global Berhad (NGGB) di Taman Teknologi Hijau Pekan, Pahang semalam.

KUALA LUMPUR – Sisa industri sawit kini menjadi sumber bahan mentah penting bagi sektor ekonomi hijau melalui penghasilan produk nilai tambah tinggi yang mampu menjana pulangan ekonomi menarik dan lestari, kata Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin.

Beliau berkata, sisa biojisim terhasil daripada pokok sawit seperti tandan buah sawit kosong (EFB) bukan sahaja boleh dijadikan sumber biotenaga boleh diperbaharui, ia juga digunakan dalam penghasilan pulpa dan kertas yang lebih bernilai tinggi, serta baja bio-organik yang mesra alam.

“Malaysia selaku pengeksport minyak sawit kedua terbesar di dunia yang mana sektor ini juga merupakan penyumbang terbesar dalam industri biojisim dalam negara.

“Maka, inisiatif beberapa syarikat tempatan mentransformasikan sisa buangan industri sawit khususnya penggunaan EFB dalam penghasilan bahan pulpa dan kertas serta baja bio-organik adalah bertepatan dengan agenda Kerajaan dalam membudayakan amalan hijau dan pengaplikasi teknologi hijau secara lestari,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Sebelum ini, Foong Hin telah mengadakan satu lawatan kerja rasmi di Pahang pada 27 Ogos 2024 yang memberi fokus utama kepada penggunaan sisa biojisim sawit dalam merancakkan inisiatif ekonomi kitaran bagi sektor agrikomoditi negara.

Beliau telah mengadakan lawatan kerja ke Syarikat Nextgreen Global Berhad (NGGB) yang terletak di Taman Teknologi Hijau (GTP), Pekan dan Kebun Durian dimiliki Able Land Sdn. Bhd. di Raub.

Menurutnya, GTP dibangunkan oleh NGGB sebagai model industri hijau perintis yang merevolusikan industri percetakan dan penerbitan dengan menyediakan sumber baharu pulpa dan kertas mampan daripada biojisim sawit, serta menyepadukan tenaga boleh diperbaharui yang inovatif dan teknologi sifar sisa dalam operasi kilang tersebut.

“Konsep ini adalah selaras dengan sasaran kerajaan untuk mewujudkan hub biojisim dalam rantaian nilai dan bekalan industri agrikomoditi, yang selari dengan Pelan Tindakan Biojisim 2023 – 2030,” katanya.

Di samping itu, Foong Hin juga telah menyaksikan penggunaan baja bio-organik yang dihasilkan daripada EFB di Kebun Durian Able Land, Raub.

Kebun durian ini mempunyai keluasan 437 ekar dan telah ditanam sebanyak 18,000 pokok durian daripada spesis Musang King dan Blacktorn.

Beliau berkata, potensi dan manfaat daripada sumber biojisim ini cukup besar, maka kerjasama antara pelbagai pihak, termasuk sektor awam, swasta, dan masyarakat umum, amat diperlukan untuk merealisasikan potensi ini secara efektif.

“Melalui perkongsian pengetahuan, teknologi, dan sumber daya, kita dapat mengembangkan dan memanfaatkan biojisim dengan lebih efisien, sambil meminimumkan impak negatif terhadap alam sekitar,” tambahnya. – MalaysiaGazette