SHAH ALAM – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengingatkan semua pihak agar tidak risau dengan kekurangan bekalan insulin.
Sebaliknya beliau memberi jaminan bahawa bekalan semasa insulin masih mencukupi hingga hujung tahun ini.
Menurutnya, bukan hanya fasiliti kesihatan, malah pengamal perubatan sudah pasti tidak akan berkompromi sekiranya berlaku kekurangan sumber insulin di klinik atau hospital.
Artikel berkaitan: Bekalan insulin mampu bertahan sehingga Disember, ada masalah pembekal – KKM
Isu pengeluaran pembekal tempatan punca bekalan insulin manusia terjejas – KKM
“Jangan terlalu risaukan ini, kita pasti doktor tidak akan berkompromi tentang kesihatan dan keselamatan pesakit,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Program MyGenom di Institut Kesihatan Negara, di sini, hari ini.
Sebelum ini Dzulkefly mengesahkan tiada krisis insulin berlaku.
Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mencari alternatif lain di samping berusaha mendapatkan pembekal baharu secepat mungkin.
Dalam masa yang sama beliau memberi jaminan Agensi Pengawalseliaan Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA) akan memudahkan proses pendaftaran pihak swasta yang ingin menjadi pembekal sumber insulin kepada KKM. – MalaysiaGazette