Ahmad melakukan cabutan undi dalam Majlis Cabutan 54 Kerja Penyelenggaraan Jalan Zon Selatan Bernilai RM21.56 juta untuk Kontraktor Kecil Bumiputera G1 - G4 di Dewan Serbaguna JKR Kluang, Jalan Sentosa di Taman Idaman, Kluang, hari ini.

KLUANG – Khidmat kepakaran nasihat akan diberikan Kementerian Kerja Raya dalam membantu usaha pencarian mangsa tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pihaknya sentiasa sedia memberi bantuan walaupun kejadian tanah jerlus itu berlaku dalam kawasan seliaan Jabatan Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Dalam mesyuarat Kabinet semalam meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk memberikan nasihat pakar. Perbincangan diadakan dengan pegawai yang dipanggil beberapa kali ke lokasi kejadian di Masjid India.

“Nasihat serta pandangan tertentu diberikan dan diharap mangsa yang hilang dapat ditemui segera,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyaksikan cabutan undi bagi Program Penyenggaraan Jalan Persekutuan Semenanjung Malaysia – Zon Selatan Tahun 2024 di JKR Kluang di sini hari ini.

Pada Jumaat lalu, seorang wanita warga India dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, hilang selepas terjatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter susulan insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India.

Dalam pada itu, Ahmad memberitahu penyelenggaran jalan di kawasan terjejas antara aspek penting yang perlu dilakukan.

“Perkara yang patut dibuat jangka masa pendek dan jangka masa panjang sudah tentu penyelenggaraan jalan. Oleh itu, nasihat dan pandangan akan diberikan mengenainya,” katanya.- MalaysiaGazette