PENAFIAN DBKL berhubung kejadian tanah mendap di sekitar Jalan Dewan Bahasa, Kampung Attap, Kuala Lumpur yang didakwa berlaku hari ini.

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menafikan berlaku kejadian tanah mendap di sekitar Jalan Dewan Bahasa, Kampung Attap hari ini, seperti yang tular di dalam media sosial.

DBKL dalam kenyataan menerusi laman sosial Facebook memaklumkan, gambar tersebut merupakan gambar lama dan kerja-kerja pembaikan terhadap kerosakan di jalan tersebut telah dijalankan.

“Orang ramai dinasihatkan tidak berkongsi berita yang tidak sahih yang boleh menimbulkan kegelisahan awam,” katanya.

Menerusi catatan sama, DBKL turut berkongsi gambar terkini di lokasi tersebut yang sudah diperbaiki dan selamat kepada orang ramai.

Terdahulu, tular di media sosial gambar kononnya berlaku kejadian tanah mendap terbaharu yang didakwa di Kampung Attap di sini, sehingga menimbulkan kegusaran orang ramai.

Kes itu cuba dikaitkan dengan kejadian lubang benam di Jalan Masjid India yang menyebabkan seorang pelancong India hilang selepas terjatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter di situ, minggu lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast