Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Dr Dominic Lau.

KUALA LUMPUR – Para penumpang udara yang terkandas lebih lima jam tidak hanya perlu diberi pulangan semula tambang mereka, sebaliknya wajar dibantu daripada aspek lain.

Sambil menyambut baik langkah pulangan tambang seperti diumumkan Kementerian Pengangkutan semalam, Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau berkata, pihak berkuasa berkaitan juga perlu menjaga aspek kebajikan penumpang yang terjejas.

Antaranya, kata beliau, mengatur semula penerbangan penumpang terlibat kerana penundaan itu mungkin menyebabkan ada penumpang yang tidak dapat mengejar penerbangan sambungan atau terpaksa membatalkan penginapan hotel mereka.

Dalam masa sama, Dominic turut mencadangkan supaya kerajaan menggerakkan kerjasama antara syarikat penerbangan utama negara iaitu Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia.

“Sebagai dua syarikat penerbangan utama tempatan, kita sememangnya berharap AirAsia dan Malaysia Airlines (bukan hanya) menjadi pesaing, tetapi juga sebagai rakan perniagaan yang menyediakan perkhidmatan terbaik kepada penumpang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Semalam, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, syarikat penerbangan perlu menawarkan pilihan bayaran balik penuh bagi kelewatan penerbangan lima jam dan lebih kepada penumpang yang tidak mahu meneruskan perjalanan mereka, berkuat kuasa 2 September depan.

Menurut beliau, bagi gangguan penerbangan yang disebabkan oleh keadaan luar biasa, syarikat penerbangan dikehendaki terlebih dahulu menawarkan bayaran balik dalam mod bayaran asal.

Katanya, syarikat penerbangan juga boleh menawarkan mod bayaran balik alternatif seperti baucar perjalanan atau credit shell, namun pengguna mempunyai hak untuk memilih mod bayaran balik yang mereka kehendaki.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Dominic turut mempersoalkan langkah yang diambil kerajaan dalam mengatasi isu kekurangan alat ganti mekanikal serta kekurangan kakitangan teknikal profesional yang menyebabkan MAS terpaksa membatalkan beberapa penerbangan.

Ujarnya, perkara itu seperti yang dikesan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) ketika menjalankan pemeriksaan mengejut terhadap MAS dari 24 hingga 28 Jun lalu.

“Menguruskan keselamatan penerbangan tidak boleh ditangguhkan atau diketepikan.

“Bagaimana kekurangan kakitangan teknikal profesional ini akan diatasi? Adakah perlu ada pelan latihan jangka panjang untuk melahirkan lebih ramai kakitangan teknikal?” soalnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast