KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa nikmat kemerdekaan negara kini hanya dirasai oleh kerajaan.
Menurut Dr. Mahathir, kerajaan sudah menjadi ‘Abang Besar’ yang menentukan apa yang rakyat boleh dan tidak boleh buat.
“Apa yang kita boleh kata, dan apa yang tak boleh dicakap. Sudah tentu tidak boleh sentuh apa-apa yang Kerajaan tidak suka.
“Jadi apakah yang rakyat rayakan pada hari merdeka? Apakah rakyat rayakan Kerajaan yang merdeka dan rakyat yang tidak merdeka?” soal Dr. Mahathir menjelang Hari Kebangsaan ke-67 Sabtu ini.
Beliau mendakwa, zaman penjajahan British rakyat lebih bebas untuk bersurat khabar dan menyuarakan pendapat.
Masyarakat pada waktu itu katanya, boleh mengecam Kerajaan British dan Malayan Union, mengadakan rapat umum dan demonstrasi jalanan tanpa kelulusan oleh kerajaan.
Namun katanya, hari ini rakyat sudah tidak bebas bersuara dan tidak boleh bercakap berkenaan 3R iaitu isu bangsa, agama dan raja.
Surat khabar juga dakwanya, tidak boleh melaporkan ucapan pembangkang manakala pemberita yang tidak memuji kerajaan akan disiasat.
Media sosial juga menurut Dr. Mahathir disekat sekali gus memperlihatkan tidak ada kebebasan seperti yang dijanji.
Beliau mendakwa seperti kelakuan jenayah menyimbah asid dan bertumbuk tidak lagi menarik minat polis untuk bertindak.
“Jadi siapa yang menikmati merdeka atau kebebasan? Yang menikmati merdeka ialah Kerajaan. Kalau dahulu membuat undang-undang perlu mengikut proses, sekarang tidak perlu.My word is law‘, sikap PM. Dan polis dan SPRM pun bertindak.
“Tuduhan yang tidak berasas boleh dibuat oleh Kerajaan dan siasatan dilakukan. Rakyat yang tidak salah pun boleh dipaksa melapor pendapatan dan perbelanjaan selama berpuluh tahun. Tidak patuh akan didenda atau dipenjara.
“Siasatan boleh ambil masa yang panjang sehingga perbicaraan bertahun-tahun lamanya. Justice delayed is justice denied,” dakwanya.
Dr. Mahathir mendakwa, tekanan boleh dibuat oleh Kerajaan tanpa sebab supaya punca kekayaan dijelas.
Harta juga boleh ditahan sehingga menjadi tekanan ke atas pemilik, tahanan harta tidak terhad masa dan pasport boleh dirampas, ujarnya.
Kerajaan sebaliknya menurut Dr. Mahathir, boleh menghentikan perbicaraan penjenayah yang dituduh.
“Kesalahan yang kecil dipenjara tetapi kesalahan yang besar dikurang hukum dan mungkin dibebas.
“Banyaklah lagi sekatan yang dibuat oleh Kerajaan yang menunjuk kebebasan Kerajaan dan menidakkan kebebasan (merdeka) rakyat,” dakwanya. – MalaysiaGazette
correct! correct! correct!
segalanya bermula apabila Malaysia membenarkan seseorang menjadi perdana menteri terlalu lama.
kena hadkan kepada 2 penggal sahaja.