Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi

KAJANG – Kementerian Kerja Raya (KKR) mengagihkan projek berjumlah RM48 juta kepada 100 kontraktor kecil bumiputera G1 hingga G4, hari ini.

Ia bagi program Penyelenggaraan Berkala Pavemen (BP) dan Berkala Bukan Pavemen (BBP) yang melibatkan kontraktor kecil bumiputera di Selangor, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Cabutan undi bagi program itu disempurnakan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bagi projek penyenggaraan Jalan Persekutuan Semenanjung Malaysia.

Sejumlah 7,458 penyertaan diterima KKR menerusi permohonan dalam talian syarikat Roadcare (M) Sdn. Bhd. yang dilantik sebagai syarikat konsesi bertanggungjawab untuk menyenggara Jalan Persekutuan Semenanjung Malaysia di Zon Tengah dan Timur.

Pengarah Kontraknya, Mizan Adilah Abdul Hamid berkata, syarikat-syarikat yang layak dan mempunyai pendaftaran lesen yang masih sah dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), mempunyai Sijil Taraf Bumiputera (STB, dan berdaftar mengikut had nilai kerja yang disenaraikan akan diundi bagi mendapatkan projek berkenaan.

“Program cabutan telah kita mulakan pagi tadi bagi negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu. Projek-projek ini adalah di bawah peruntukan KKR melibatkan 116 syarikat yang diberikan projek menerusi cabutan undian,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dan Kementerian Ekonomi telah meluluskan peruntukan tambahan penyenggaraan jalan persekutuan seluruh Semenanjung Malaysia bagi memperkasa Kontraktor Bumiputera G1-G4.

Jumlah kerja yang diluluskan adalah bernilai RM100 juta (280 kerja penyenggaraan) dengan pecahan RM70 juta untuk Berkala Pavemen (79 kerja penyenggaraan) dan RM30 juta untuk Berkala Bukan Pavemen (201 kerja penyenggaraan) pada Ogos lalu.

Bagi Zon Tengah dan Timur, sebanyak 32 kerja Berkala Pavemen bernilai RM34.86 juta ditawarkan dengan Selangor 10 kerja (RM10.6 juta), Pahang 10 kerja (RM12 juta), Terengganu 5 kerja (RM5.5 juta) dan Kelantan 7 kerja (RM6.76 juta).

Manakala bagi Berkala Bukan Pavemen, sebanyak 84 kerja bernilai RM13.35 juta ditawarkan dengan Selangor mendapat 23 kerja (RM2.18 juta), Pahang 34 kerja (RM6 juta), Terengganu 16 kerja (RM2.1 juta) dan Kelantan 11 kerja (RM3.07 juta). – MalaysiaGazette