Operasi SAR mencari dan menyelamat seorang mangsa kejadian tanah jerlus telah memasuki hari kelapan di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 30 OGOS 2024.

KUALA LUMPUR – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India yang hilang selepas terjatuh dalam tanah jerlus di Jalan Masjid India, di sini, diteruskan pada hari kelapan, malam ini.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan berkata, pencarian wanita berusia 48 tahun itu dilakukan Agensi Nuklear Malaysia menggunakan Ground Penetrating Radar (GPR).

“Pada masa sama, Indah Water Konsortium (IWK) membuat kerja-kerja jetting dan rodding.

“Ia bagi membersihkan halangan dalam saluran paip kumbahan.

“Keadaan di lokasi pencarian adalah terkawal,” katanya DBKL, hari ini.

Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan operasi SAR bagi mengesan wanita malang itu diteruskan pada hari kelapan, hari ini.

Operasi membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Mineral dan Geo Sains dimulakan jam 9.30 pagi tadi.

Usaha mengesan wanita itu diteruskan semula sebaik sahaja ia ditangguhkan jam 5 pagi tadi selepas pasukan penyelam JBPM gagal menemui sebarang objek.

Menurut kenyataan iti, operasi SAR hari kelapan berjalan lancar dan memberikan kerjasama baik daripada orang ramai.

“Orang ramai tidak memasuki kawasan yang telah dipasang tali keselamatan.

“SAR pada hari kelapan diteruskan dengan pencarian di sebelah malam,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast