KUALA LUMPUR – Laman media sosial Facebook pendakwah bebas terkenal, Ustaz Azhar Idrus yang didakwa ‘hilang’ sejak semalam kembali boleh diakses malam tadi.
Perkara itu dimaklumkan oleh unit media pendakwah berkenaan yang menjelaskan,`kehilangan’ laman media sosial tersebut berlaku sepenuhnya disebabkan oleh masalah teknikal dan tidak ada kaitan dengan pihak ketiga.
Kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook pendakwah berkenaan turut meminta supaya semua pihak dapat menghentikan segala spekulasi dan perspektif yang tidak tepat berhubung isu terbabit.
“Alhamdulillah segala puji bagi Allah, Dimaklumkan bahawa laman Facebook rasmi Ustaz Azhar Idrus telah boleh diakses kembali pada pukul 10.40 malam semalam.
“Terima kasih atas sokongan semua. Kami ingin menjelaskan bahawa masalah yang berlaku adalah sepenuhnya disebabkan oleh isu teknikal dan tidak ada kaitan dengan pihak ketiga.
“Kami berharap agar semua pihak dapat menghentikan segala spekulasi dan perspektif yang tidak tepat. Semoga kita semua sentiasa dalam rahmat Allah,” demikian menurut kenyataan itu.
Semalam, warga maya mempersoalkan kehilangan laman media sosial pendakwah bebas berkenaan yang mempunyai kira-kira 2.7 juta pengikut.
Carian MalaysiaGazette juga mendapati laman rasmi Facebook milik penceramah kelahiran Terengganu itu tidak lagi aktif.
“Kandungannya tidak tersedia pada masa ini. Apabila ini berlaku, biasanya kerana pemilik hanya berkongsinya dengan sekumpulan kecil orang atau menukar orang yang boleh melihatnya, atau ia telah dipadamkan,” tulis laman itu.
Perkara itu menimbulkan rasa kurang senang para pengikut pendakwah berkenaan dengan ada yang meminta supaya Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil campur tangan dan membantu mendapatkan semula laman sosial Facebook berkenaan. – MalaysiaGazette