Operasi SAR mencari dan menyelamat seorang mangsa kejadian tanah jerlus telah memasuki hari kelapan di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 30 OGOS 2024.

KUALA LUMPUR – Para peniaga dan pengunjung Jalan Masjid India, di sini, mengeluh kesal berikutan penutupan kawasan tersebut akibat kejadian tanah jerlus, Jumaat lalu.

Ia menimbulkan keresahan 104 peniaga apabila mereka terpaksa mengambil laluan yang lebih jauh untuk melintas sebelum sampai di kawasan tersebut.

Ahli Persatuan Perniagaan India Malaysia. M Saravanan Kumar berkata, berikutan itu penduduk setempat mencadangkan agar pihak berkuasa menyediakan sekurang-kurang tiga hingga empat lintasan zebra bagi mengelakkan peniaga dan pengunjung berjalan lebih jauh.

”Tiada laluan alternatif lain bila sudah ditutup dan perkara ini membebankan orang di sini.

”Pengunjung dan penduduk di kawasan ini tidak dibenarkan melintas di laluan ini. Kami merasakan tidak berbaloi untuk pusing jauh dari hujung ke hujung,” katanya.

Pada 23 Ogos lalu, seorang wanita warga India terjatuh dan tertimbus pada kedalaman kira-kira lapan meter akibat tanah jerlus.

Penutupan jalan sepanjang 1.4 kilometer sejak Rabu lalu selepas mendapan kedua seluas dua kaki berlaku berhampiran Pondok Polis Masjid India, kira-kira jarak 50 meter dengan insiden tanah jerlus.

Sementara itu, bagi salah seorang pemilik kedai emas di sini yang hanya ingin dikenali sebagai Rama berkata, meskipun usaha pencarian mangsa dilakukan itu penting namun pihak berkuasa perlu mengambil kira keperluan penduduk sekitar.

Ia termasuk menyediakan laluan khas kepada penduduk yang mendiami kasawan itu untuk mengakses jalan lebih mudah daripada berjalan lebih 1 kilometer untuk melintas antara blok.

”Bayangkan saya berniaga di sini, dan rumah saya di flat hadapan sini sahaja, tak masuk akal untuk saya berpusing keliling sini.

”Tak salah tutup jalan kepada laluan kenderaan tapi janganlah sehingga membebankan kami di sini.

Wardah Abdul Halim, 29, berkata, pergerakan penduduk di kawasan itu kini terhad dan mengakui perniagaannya terjejas seminggu lalu.

Tambah beliau, ia disebabkan kehadiran pengunjung yang semakin merosot kerana berasa kurang selamat berada di kawasan insiden tanah jerlus itu.

“Masalah bagi kami di sini bila jalan sudah ditutup nak beli makanan pun susah sebab tidak boleh lintas seberang. Pernigaan pun makin teruk sebab tak ramai orang,” tambahnya. – Malaysiagazette