Mohd Noor Helmy (kiri) bersama penduduk Kampung Pengkalan Rama Tengah menyantuni Muhammad Syamim (dua dari kanan) yang ditimpa kemalangan motosikal di rumahnya.

MELAKA – “Saya tak sangka walaupun hanya bekerja sebagai pengutip sampah pada usia yang muda, ada penduduk kampung daripada kaum Melayu, Cina dan India sanggup datang menziarahi saya di rumah ketika ditimpa kemalangan.

“Inilah makna sebenar kemerdekaan bagi saya yang akan dikenang sampai bila-bila,” kata pekerja kutipan sampah SWM Environment Sdn Bhd (SWM), Muhammad Syamim Roslen, 26.

Menurut bapa kepada dua anak itu, dia tidak menyangka kisahnya menerima bantuan makanan daripada penduduk Kampung Pengkalan Rama Tengah terdiri daripada masyarakat Melayu, Cina dan India selepas kemalangan jalan raya pada 14 Ogos lalu tular dia media sosial.

Ia selepas video mengenai kunjungan penduduk kampung itu yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem tular sejak dua hari lalu.

“Sejujurnya, sejak bekerja sebagai pengutip sampah di SWM enam tahun lalu, saya tidak pernah berkira dalam melaksanakan tugas walaupun ia di luar skop tugas saya.

“Kadang-kadang, ketika naik motor roda tiga untuk kutip sampah domestik di rumah penduduk kampung, ada warga emas minta saya tolong buangkan sampah seperti dahan atau pokok mati.

“Setiap kali diminta, saya tak sampai hati menolak dan tak sangka pula rupanya sikap saya itu amat dihargai dan disenangi penduduk walaupun saya hanyalah pengutip sampah,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Menurut Muhammad Syamim, dia tidak pernah mengharapkan sebarang balasan daripada penduduk kampung di kawasan pelancongan itu, sebaliknya ikhlas dalam melaksanakan tugas.

“Bagi saya, walau apapun tahap pekerjaan dan pendidikan kita, ia perlu dilakukan sebaik-baiknya kerana setiap perbuatan kita pasti ada ganjaran daripada Allah SWT.

“Memang saya tak pernah menyangka ‘ketiadaan’ saya yang terpaksa cuti sakit selama 42 hari kerana patah kaki kanan akibat kemalangan dibalas dengan pemberian makanan dan sedikit wang tunai daripada penduduk kampung.

“Saya percaya inilah erti sebenar kemerdekaan bila rakyat sentiasa membantu tanpa melihat warna kulit dan latar belakang agama,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast