Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempersoalkan sama ada terdapat konspirasi dalaman untuk menjatuhkan syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines (MAS).

Dalam masa sama, Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal turut mempersoalkan bagaimana kerajaan khususnya Kementerian Pengangkutan boleh meluluskan urus niaga yang jelas merugikan MAS.

Ujar Ahli Parlimen Machang berkenaan, punca sebenar masalah yang dihadapi MAS ketika ini adalah kegagalan kerajaan melindungi kepentingan negara dalam sektor penerbangan awam.

Dakwanya, perkara itu dengan memberikan “sweet heart deal” (perjanjian menguntungkan) kepada pesaing MAS iaitu Singapore Airlines yang membolehkan mereka bersaing secara tidak adil.

“Kegilaan apakah ini? Kita bukan tolak pelaburan tapi bak pepatah Melayu, kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan!” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan kegagalan teknikal MAS yang semakin parah akhir-akhir ini bukan sesuatu yang kecil seperti yang didakwa Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

“Rakyat harus bangkit menentang urus niaga `buluh kasap’ melibatkan MAHB dan kini MAS! Dua-dua sedang dirosakkan!” katanya.

Terdahulu, Anthony Loke dilaporkan berkata, isu membabitkan komponen mekanikal dan kekurangan tenaga pekerja mahir antara faktor berlakunya insiden masalah teknikal membabitkan pesawat syarikat penerbangan Malaysia Airlines Berhad (MAB) baru-baru ini.

Menurut beliau, perkara itu hasil siasatan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) ke atas MAB termasuk syarikat MAB Engineering Services (MABES) pada 24 hingga 28 Jun lepas.

Tambah beliau, CAAM mendapati 63 orang daripada 411 pekerja MABES yang boleh memperakukan perihal selamat pesawat penerbangan telah berhenti dan berhijrah berkemungkinan disebabkan tawaran gaji lumayan yang disediakan oleh syarikat penyelenggara lain.

Isu kekurangan alat ganti dan pakar teknikal yang membelenggu MAS sebelum ini dibangkitkan banyak pihak antaranya bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong yang menyifatkan ia bukan perkara remeh kerana berkaitan dengan keselamatan penumpang.

“Persoalannya, kesemua masalah ini bukan di luar jangkaan munasabah. Kenapa tiada persediaan atau perancangan sejak Januari 2024 di mana SIAEC (Syarikat Kejuruteraan Singapore Airlines) mula beroperasi di Subang Malaysia?” kata Ka Siong. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast