Seorang anggota polis daripada Balai Slim River, Lans Koperal Muhammad Alif Monjani didakwa membunuh Nur Farah Kartini pada Julai lalu.

KUALA KUBU BHARU – Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu hari ini menetapkan sebutan semula kes Nur Farah Kartini Abdullah, 25, yang dibunuh di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang di Hulu Selangor pada 7 Oktober depan.

Majistret Nurul Izzah Hassan Basri menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Asmah Che’ Wan memaklumkan laporan kimia dan bedah siasat masih belum diperoleh.

“Laporan kimia dan laporan bedah siasat masih belum diterima.

“Saya mohon satu tarikh baharu untuk sebutan semula kes,” katanya.

Peguam mewakili tertuduh Muhammad Alif Monjani, Nur Aida Md Zainuddin memaklumkan, pihaknya sudah menjangkakan tempoh proses laporan tersebut akan mengambil masa yang lama.

“Laporan kimia buat masa ini masih belum siap lagi dan kebiasaanya akan mengambil masa antara dua hingga tiga bulan (laporan keluar).

“Kemungkinan juga tarikh akan datang laporan itu belum siap dan, jika sudah siap baru kita bertindak ikut arahan selanjutnya,” jelasnya kepada pemberita selepas prosiding berakhir pagi tadi.

Tambah beliau, setelah semua dokumentasi pertuduhan lengkap, pendakwaraya akan memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Mengulas lanjut mengenai keadaan tertuduh, Nur Aida berkata Muhammad Alif agak terganggu susulan keadaan yang dihadapinya.

Bagaimanapun, tertuduh berusia 26 tahun itu mendapat sokongan penuh daripada keluarganya walaupun ditempatkan di Penjara Sungai Buloh.

Pada 26 Julai lalu, seorang anggota polis daripada Balai Slim River, Lans Koperal Muhammad Alif Monjani, didakwa membunuh Nur Farah Kartini Abdullah.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu antara pukul 9 pagi 10 Julai hingga pukul 6 petang 15 Julai lalu di Ladang SKC, Kledang, Mukim Hulu Bernam.

Susulan itu, dia berdepan pertuduhan dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya kerana kes bunuh dibawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. – MalaysiaGazette