Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar menyampaikan ucapan perasmian Pusat Hemodialisis MAIWP-PICOMS (PHMP) cawangan Putrajaya di Presint 15, hari ini.

PUTRAJAYA – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) membelanjakan lebih RM2.6 juta setiap sebulan untuk menanggung rawatan 715 pesakit buah pinggang dalam kalangan asnaf.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, jumlah asnaf yang ditanggung berada di Labuan, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Untuk seorang asnaf perbelanjaan sekali rawatan sebanyak RM280 termasuk ubatan,” katanya  ketika merasmikan Pusat Hemodialisis MAIWP-PICOMS  cawangan Putajaya di Presint 15, hari ini.

Pusat tersebut diwujudkan bertujuan untuk mengurangkan beban golongan asnaf, sekaligus meningkatkan akses kepada rawatan berkualiti.

Menurut Na’im, sejak 2012 sehingga kini sebanyak lima cawangan pusat hemodialisis diwujudkan menerusi Kerjasama MAIWP dan PICOMS.

“Khususnya di Kuala Lumpur kita sebolehnya nak tubuhkan cawangan lebih banyak tetapi itu bergantung juga kemampuan jadi kalau ramai yang bayar zakat mungkin ia membantu,” ujarnya.

Mengulas lanjut katanya, MAIWP sentiasa komited untuk membantu golongan asnaf bukan hanya untuk keperluan harian malah daripada aspek rawatan.

Beliau berharap lebih ramai yang akan membayar zakat supaya MAIWP dapat membantu lebih ramai asnaf di Wilayah Persekutuan.

“Kita kena ingat kita ada 34 skim bantuan kepada asnaf yang lain bukan untuk perubatan sahaja,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast