VIDEO tinjauan MalaysiaGazette berkenaan mendapan tanah kecil berdekatan bangunan Ariani di Jalan Masjid India.

KUALA LUMPUR – Mendapan tanah yang berlaku di hadapan bangunan Ariani berhampiran Jalan Masjid India di sini, adalah kesan daripada kerja baik pulih paip yang dilaksanakan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) sebelum ini.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan menerusi laman sosial Facebook hari ini menjelaskan, pihak Syabas telah dimaklumkan mengenai perkara itu.

Tambah kenyataan itu, kerja-kerja baik pulih mendapan akan dilakukan segera dan dijangka selesai dalam tempoh tiga hari.

“DBKL ingin merujuk kepada gambar yang tersebar di media sosial berkaitan berlaku mendapan kecil tanah di hadapan bangunan Ariani berhampiran Jalan Masjid India.

Mendapan tanah ini adalah kesan dari kerja baik pulih paip yang dilaksanakan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) sebelum ini,” katanya.

Sebelum ini, MalaysiaGazette melaporkan berlaku kejadian mendapan tanah kecil berdekatan bangunan Ariani di Jalan Masjid India iaitu berdekatan lokasi kejadian lubang benam yang mengakibatkan seorang pelancong India hilang.

Menerusi video itu, anggota polis dilihat mengawal lokasi berkenaan selain turut diletakkan kon amaran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast