KUALA LUMPUR – Muafakat Nasinonal (MN) menafikan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu sudah terbubar.
Menurut Setiausaha Eksekutif MN, Datuk Mohd Irwan Rizal berkata NGO masih berjalan seperti biasa dan tidak terbubar sebagaimana yang didakwa pengerusinya, Jismit Japong.
“Sekretariat Muafakat Nasional juga telah menerima maklumat menerusi media berkenaan perletakan jawatan beberapa individu di peringkat Jawatankuasa Penaja MN Sabah berikutan beberapa orang yang tidak berpuas hati mengenai perkara tertentu.
“Oleh kerana jawatankuasa tersebut masih berstatus penaja dan sebahagian yang terlibat belum disahkan perlantikannya, maka ianya boleh diterima tanpa sebarang masalah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, Jismit berkata MN Sabah sudah terbubar apabila 30 ahli jawatankuasa NGO berkenaan bertindak meletakkan jawatan.
Jismit berkata keputusan itu dibuat kerama mereka sudah hilang kepercayaan terhada kepimpinan pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa dan juga kepimpinan NGO berkenaan.
Dalam pada itu, Irwan turut menegaskan MN di Sabah tidak boleh bertindak sebagai parti politik kerana ia diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan Malaysia pada 19 September 2019 sebagai NGO.
“Sukacita ditegaskan, sesuai dengan kelulusan Pendaftar Pertubuhan, MN akan terus kekal sebagai sebuah badan NGO yang berdaftar,” katanya. – MalaysiaGazette