Pihak berkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur(DBKL) menutup laluan di kawasan lubang mendapan baru yang telah dikesan awal pagi tadi ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 28 OGOS 2024

KUALA LUMPUR – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India yang hilang selepas terjatuh dalam tanah jerlus dekat Jalan Masjid India, di sini, sejak Jumaat lepas, diteruskan lagi hari ini.

Tinjauan MalaysiaGazette di lokasi kejadian mendapati, operasi SAR yang melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan mineal dan Geo Sains diteruskan 9.30 pagi tadi.

Usaha mengesan wanita itu diteruskan semula sebaik sahaja ia ditangguhkan jam 5 pagi tadi selepas pasukan penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) gagal menemui sebarang objek.

Turut kelihatan di lokasi kejadian bagi meninjau operasi SAR pagi ini ialah Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman.

Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan sejak 3 pagi tadi mendapati dua penyelam skuba mula turun ke lubang saluran kumbahan kira-kira jam 4 pagi.

Pihak berkuasa cuba mencari objek yang dipercayai tersekat di dalam saluran berkenaan, kira-kira 44 meter dari lokasi kejadian.

Bagaimanapun, selaman selama hampir 30 minit itu gagal membuahkan sebarang hasil.

Sementara itu, tinjauan MalaysiaGazette sekitar Jalan Masjid India mendapati, pengusaha premis perniagaan masih beroperasi seperti biasa meskipun jarak kedai terdekat dari lokasi kejadian kira-kira 5 meter.

Salah seorang peniaga yang ditemui memberitahu, pita kuning yang diletakkan pihak berkuasa di kaki lima berdekatan deretan kedai mengganggu akses keluar masuk pelanggan mereka.

Bagaimanapun pihak berkuasa tidak mahu bertolak ansur kerana mengambil kira faktor keselamatan orang ramai dan ia boleh mengganggu kelancaran operasi SAR. – MalaysiaGazette